SEJAK akhir-akhir ini, kita sering dikejutkan dengan beberapa kes pertembungan penyokong gerakan politik. Walau apa sekalipun yang berlaku, ia mungkin sekadar insiden biasa dan terpencil. Namun, jika fenomena pemikiran kelompok ini tidak dikawal, ia boleh mendedahkan masyarakat dengan suasana yang tidak tenteram.
Bayangkan, setiap kali ada pihak yang ingin berkumpul, ada satu lagi pihak yang berbeza pandangan ingin turut serta, pastilah ia bakal mewujudkan keadaan yang tidak diingini. Sama ada perhimpunan yang diadakan itu hal yang baik atau buruk, ia adalah sesuatu yang lain. Bagaimanapun, tidak sewajarnya dua pihak yang bertentangan pandangan berhimpun pada hari yang sama.
Manusia ini pada asasnya mempunyai sifat mulia. Manusia menyayangi antara satu sama lain. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, manusia boleh berubah sifat khususnya apabila mereka dalam kumpulan yang besar.
Seseorang individu yang mungkin pada awalnya seorang yang penyabar atau lemah lembut, dia akan berubah menjadi agresif bergantung kepada perasaan yang wujud dalam kumpulan itu. Ia berlaku dalam banyak keadaan termasuk ketika menonton perlawanan bola sepak di stadium.
Walaupun niat seseorang penonton itu mahu mendapat kegembiraan, ia boleh berubah menjadi perusuh sekiranya ada ahli dalam kumpulan tersebut bertindak sedemikian. Hal ini tentulah lebih teruk dalam aktiviti berpolitik. Ini kerana, politik adalah hal yang sangat sukar untuk ditafsirkan.
Setiap pihak mendakwa mereka berada di pihak yang benar. Apatah lagi kewujudan politik itu sendiri merupakan perdebatan mengenai apa yang terbaik patut dilakukan. Jadi, tidak ada siapa akan mendakwa mereka melakukan sesuatu yang salah. Misalnya, pertembungan antara gerakan Bersih dan Baju Merah baru-baru ini.
Walaupun pada asasnya, kedua-dua gerakan itu boleh mendakwa mereka di pihak yang benar, pertembungan yang berakhir dengan keganasan bukanlah hal yang dianggap satu kebenaran terutamanya jika pihak yang satu lagi dianggap sebagai musuh dan kemudiannya dicederakan pula.
Luar biasa
Dalam psikologi, hal ini dikenali sebagai ilusi kekebalan. Manusia akan menganggap mereka sebagai kumpulan yang kuat apabila berada dalam kelompok yang ramai. Ahli-ahli kumpulan lain dianggap sebagai penyokong yang akan menjadikan mereka lebih luar biasa.
Sedangkan pada waktu yang lain, tanpa kehadiran ahli kumpulan, seseorang itu mungkin seorang yang lemah lembut dan peramah. Sebaliknya, apabila ada seseorang daripada ahli kumpulan yang mencetuskan pergaduhan, ahli kumpulan yang lain akan turut sama berasakan bahawa mereka wajar melakukan perkara yang sama kerana diandaikan mereka adalah milik kepada kumpulan tadi.
Malah, emosi kemarahan ini mudah berpindah daripada seorang ahli kepada ahli yang lain dalam keadaan mereka berasakan berada di pihak yang benar dan pihak yang satu lagi adalah salah. Sebab itu, bagi mereka yang menganggotai satu-satu kumpulan atau organisasi, kita perlu membataskan pemikiran kita agar tidak terjebak dengan fenomena berkumpulan tersebut.
Fenomena berkumpulan mungkin baik sekiranya ia digunakan bagi tujuan kebaikan. Misalnya untuk mencetuskan semangat pasukan bola sepak atau ahli sukan yang bertanding pada kejohanan tertentu. Fenomena berkumpulan ini juga baik apabila ia digunakan dalam keadaan ketika kita bekerja secara berpasukan.
Bagaimanapun, apabila ia mula terdedah dengan keburukan atau permusuhan, maka kita harus berfikir secara rasional. Adakah wajar kita melakukan sesuatu yang di luar batas undang-undang hanya sekadar untuk menunjukkan bahawa kumpulan kita adalah lebih kuat atau berpengaruh?
Ia juga tidak rasional untuk mencederakan orang lain yang dianggap datang daripada kumpulan yang berbeza. Apatah lagi apabila gerakan ini sendiri tercetus daripada perbezaan ideologi politik yang berbeza. Ini penting kerana jika kita tidak mengawal diri, akan ada pihak yang berkepentingan cuba mengambil kesempatan.
Mereka mungkin individu yang ingin mencari pengaruh atau menunjukkan kepada pihak lain bahawa mereka adalah ketua yang dihormati. Sedangkan yang menjadi mangsa ialah ahli-ahli bawahan yang mungkin tidak tahu apa sebenarnya tujuan mereka mencederakan orang lain atau perlu melakukan provokasi yang tidak mempunyai sebarang motif.
Harus diingatkan, tidak semua hal perlu berakhir dengan keganasan. Bayangkan, tatkala kita begitu ghairah meluahkan rasa benci kepada kumpulan yang lain tetapi, pada waktu yang lain, kita mungkin bertemu lagi dengan individu itu secara bersendirian mungkin tatkala membeli-belah atau makan di restoran.
Bukanlah kita akan mengetahui betapa pada akhirnya tanpa ahli kumpulan, kita hanyalah manusia biasa yang patut saling hormat-menghormati. Jadi, mengapa terlalu ghairah untuk berasa kuat tatkala kita berada dalam kumpulan?
0 comments:
Post a Comment