Malaysian Green Technology Corporation (Greentech Malaysia) melihat Malaysia bersedia untuk mencapai sasaran 100,000 unit kenderaan elektrik (EV) menjelang 2020 dengan melaksanakan polisi yang baik, penyediaan infrastruktur dan peningkatan kesedaran orang awam mengenai penggunaannya.
Ketika ini, kadar EV yang berada di Malaysia sekitar 110 hingga 120 unit dan ia masih berskala kecil untuk mencapai sasaran 100,000 unit menjelang 2020. Namun, Greentech tidak bercadang menyemak semula sasaran itu yang diletakkan kerajaan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Hadri Haris berkata, polisi yang kondusif untuk dilaksanakan dalam industri EV penting memandangkan ia strategi bagi menarik lebih banyak pemain industri mengeluar dan memperkenalkan EV di pasaran domestik, sekali gus menjadikan harga kenderaan itu lebih mampu milik.
Beliau berkata, dari segi infrastruktur, pihaknya bersama beberapa syarikat korporat lain dalam proses membangunkan 25,000 stesen pengecas EV di seluruh negara sehingga 2020 dan ketika ini terdapat sekitar 100 stesen apabila 150 stesen dijangka dapat diwujudkan Petronas Dagangan Berhad pada penghujung tahun ini.
Selain itu, 100 unit Tesla Model S akan berada atas jalan raya minggu depan dan dipajakkan kepada syarikat berkaitan kerajaan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik.
“Kami juga sentiasa mengadakan pelbagai program kesedaran awam mengenai manfaat penggunaan kenderaan jenis ini antaranya mengurangkan pelepasan emisyen karbon yang memberi kesan kepada alam sekitar.
“Buat masa ini, EV dikeluarkan pemain industri kenderaan mewah dan syarikat kenderaan tempatan. Proton juga difahamkan dalam usaha menghasilkan model EV mereka,” katanya selepas majlis makan tengah hari bersama MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF), di sini, semalam.
Dalam ucapan itu, Hadri turut berkongsi perkembangan terbaru EV di Malaysia dan peranan agensinya untuk memperkasa industri teknologi hijau tempatan antaranya teknologi solar yang semakin mendapat perhatian rakyat untuk menjana pendapatan.
Ketika ditanya mengenai kesediaan Proton menghasilan EV, katanya, pihaknya difahamkan Proton dalam proses membangunkan teknologi EV untuk model Iriz dan belum dapat memastikan bila kenderaan itu dikeluarkan. Secara peribadi, beliau melihat langkah Proton memperkenalkan EV untuk kereta Lotus lebih ideal memandangkan jenama itu lebih kukuh untuk dijual di pasaran asing terutama di Eropah.
“Mungkin Proton boleh memperkenalkan kenderaan EV mereka di pasaran asing terlebih dulu bagi mencipta pengalaman dan pembangunan teknologi yang baik sebelum menjualnya di pasaran tempatan. Namun, ini hanya pandangan peribadi saya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment