My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 25 October 2016

    U-Wei Sedia Terima Padah Hanyut




    Setiap naskhah seni yang sarat nilai estetika mempunyai tempoh matang tersendiri sebelum menemui khalayak. Jika dikeluarkan sebelum benar-benar empuk, kemungkinan hasil seni yang dibikin kurang meninggalkan kesan kepada penggemar filem. 

    Situasi berkenaan mungkin berlaku terhadap filem pengarah terkenal, U-Wei Haji Saari, Hanyut yang akhirnya akan menemui pemuja filem tempatan pada 24 November nanti selepas hampir enam untuk menerjah ke layar perak.

    Memulakan penggambaran pada 2010, filem yang diadaptasi daripada novel pertama Joseph Conrad berjudul Almayer Folly tersebut bakal menyaksikan suatu perspektif baharu dalam dunia perfileman tanah air. U-Wei yang melakar nama melalui filem Perempuan, Isteri dan ... pada 1993 bagaimanapun mengaku, masih memerlukan sokongan dan reaksi para penonton bagi kesempurnaan filem berkenaan.

    “Sebagai pembikin filem pasti ada padahnya. Saya sedar membikin filem perkara yang sukar dan mempunyai padah. Jika tidak mahu menanggung padah jangan berpencak dalam dunia perfileman. 

    “Beban bergelar pembikin filem bukan sahaja tertakluk ke arah menyelesaikan masalah kreatif dalam pembikinan filem tetapi perlu memikirkan beban antisipasi. Ia berikutan tanpa penonton, sesebuah filem tidak akan sempurna dan akan berikhtiar agar filem ini ditonton ramai,” katanya pada majlis pemasangan poster gergasi filem Hanyut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Sutradara yang pernah membikin filem Buai Laju-Laju itu memberitahu, pihak pawagam tidak dapat meramalkan jawapan spesifik mengenai jangkaan sambutan untuk Hanyut memandangkan tiada filem lain yang boleh dijadikan rujukan untuk filem terbaharunya itu.

    Kata pengarah filem Melayu pertama yang menerima undangan menyertai Festival Filem Cannes itu, beliau perlu membuktikan kepada pihak pawagam bahawa Hanyut mempunyai nilai komersial. Nilai komersial

    “Beritahu saya, filem apa yang hadir dengan latar zaman 1830-an dan jalan ceritanya macam dalam Hanyut? Tiada. Saya perlu membuktikan kepada pihak pawagam bahawa filem ini mempunyai nilai komersial dan akan laku. Apabila mempunyai permintaan tinggi mungkin saya akan senyum sikit,” tambahnya.

    Hanyut membariskan pelakon hebat tanah air termasuk Sofia Jane, Khalid Salleh, Sabri Yunus, Diana Danielle, Adi Putra, Hasnul Rahmat dan Bront Palarae. Karya epik tersebut juga mendapat sentuhan pelakon Australia dan Indonesia seperti Peter O’Brien, El Manik, Rahayu Saraswati serta Alex Komang.

    Berbicara mengenai sasaran kutipan filem tersebut, U-Wei tidak meletakkan sebarang sasaran. “Sebagai pembikin filem, menjadi tanggungjawab saya menghasilkan karya yang bagus. Kalau bagus, filem itu akan dimainkan dan itu yang kita mahu.

    “Saya tidak tahu apa yang akan berlaku jika filem ini tidak laku. Sama ada akan membikin filem lagi atau menjadi tukang kayu, saya sama sekali tidak tahu apa akan terjadi,” ujarnya yang melahirkan rasa syukur apabila Hanyut bakal ditayangkan pada bulan hadapan.

    Menanti pelayaran sebenar Hanyut masuk ke pawagam, Adi Putra yang melakonkan watak Dain Maroola dalam filem berkenaan pula meluahkan rasa tertekan memikirkan reaksi khalayak.

    “Perkara yang membuatkan saya tertekan adalah untuk mencari apakah yang dimahukan U-Wei dalam diri saya? Akhirnya saya membuat kesimpulan, sebelum saya menyelami watak Dain, saya harus terlebih dulu menyelami siapa U-Wei, barulah saya mendapat jawapannya,” kata Adi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: U-Wei Sedia Terima Padah Hanyut Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top