My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 28 October 2016

    Denda, Penjara 10 Tahun




    “Tidak pernah mendera anak. Ini kali pertama kanak-kanak itu dirantai.” Itu jawapan diberikan seorang wanita berusia 30 tahun selepas ditahan polis kerana didapati merantai kaki anak perempuannya berusia lapan tahun pada tiang lampu. 

    Tindakan wanita itu menimbulkan kemarahan nitizen di media sosial apabila mangsa yang berpakaian sekolah ‘ditambat’ berhampiran Taman Permainan Lagoon Perdana, Bandar Sunway di sini, petang kelmarin. Tindakan itu dianggap orang ramai keterlaluan yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, kejadian itu diketahui polis selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada orang awam pada jam 6.35 petang kelmarin.

    Katanya, setibanya anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di tempat kejadian, mereka mendapati kanak-kanak perempuan itu dikerumuni orang ramai dalam keadaan kaki dirantai. 

    “Kira-kira 10 minit kemudian, ibu kanak-kanak itu muncul di lokasi sebelum mengaku merantai anaknya kerana selalu enggan ke sekolah. Tindakannya itu didakwa sebagai denda atas sikap anaknya itu.

    “Anggota polis meminta kunci rantai besi itu daripada ibu mangsa dan membuka rantai pada kaki anaknya. Kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk disoal siasat,” katanya.

    Menurutnya, polis mengambil keterangan daripada ibu kanak-kanak perempuan itu sebelum dibebaskan malam kelmarin.

    Azlin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal. Ia boleh membawa hukuman denda sehingga RM20,000 dan penjara sehingga 10 tahun sekiranya didapati bersalah sengaja menyeksa anak perempuannya itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Denda, Penjara 10 Tahun Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top