Membesar di kota London, kehadiran Mariah Idrissi dalam dunia fesyen aliran utama memberi impak yang besar kepada persepsi masyarakat luar terhadap wanita Islam berhijab. Awal tahun lalu, wanita yang baru menginjak usia 24 tahun itu mencipta nama dan sejarah tersendiri apabila dipilih oleh gedung fesyen terkemuka dunia H&M untuk tampil sebagai model dalam iklan peragaan.
Sebagai Muslimah, Mariah ialah wanita berhijab pertama dipilih muncul dalam iklan jenama berpangkalan di Sweden itu yang dipaparkan dalam bentuk cetakan dan video. Bapanya berketurunan Maghribi dan menguruskan sebuah kelab eksklusif di London manakala ibunya yang bekerja sebagai akauntan pula berketurunan Pakistan.
Hasil didikan kedua-dua ibu bapanya, Mariah mengakui dirinya membesar sebagai wanita yang berkeyakinan tinggi selain positif terhadap segala perkara. Malah dia berpegang kuat kepada falsafah setiap keburukan atau perkara negatif yang berlaku, biar seteruk mana pun, pasti akan muncul sesuatu yang positif daripada situasi berkenaan.
Memperkatakan mengenai pemilihannya dalam iklan H&M, Mariah mengakui ia perkara terbaik berlaku dalam hidupnya dan sangat gembira kerana ia memberi ruang kepadanya untuk membuka mata orang lain mengenai Muslimah.
Tidak cukup dengan itu, bulan lalu, Mariah turut dipilih sebagai model di Select Model iaitu antara 10 agensi model terbaik di peringkat antarabangsa yang bekerjasama dengan nama besar dalam dunia fesyen. Katanya, ia seakan-akan membuka mata banyak pihak apabila wanita berhijab juga dipilih bekerja dengan satu agensi model terkemuka.
“Saya sangat teruja dan gembira dengan apa yang sedang menanti pada masa hadapan. Pada saya ada pelbagai cara untuk kita menyebarkan nilai positif dalam apa juga bidang yang kita ceburi. Saya pula menggunakan fesyen sebagai platform untuk memberitahu kepada wanita Islam mereka boleh buat apa saja yang dimahukan dalam hidup, selagi ia tidak bercanggah dengan agama.
“Pada saya, pemakaian hijab tidak seharusnya menyekat atau membuatkan kita tidak selesa atau rasa seperti orang luar melihat kita dengan pandangan yang pelik. Apa yang penting, saya mahu membantu menjadikan penampilan Muslimah sebagai sesuatu yang normal,” katanya yang ditemui pada pelancaran acara Festival Seni Islamik (ILM Arts) di Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Festival sehari berkenaan diadakan bagi tahun kedua berlangsung pada 22 Oktober lalu di iM4U Sentral, Puchong dengan menampilkan 20 artis dan personaliti dari beberapa negara. Buka mata gadis berhijab.
Biarpun dilahir dan dibesarkan dalam masyarakat bukan Islam, Mariah bersyukur kerana dia tidak pernah berhadapan masalah perkauman biarpun bertudung dan menjalani kehidupan sebagai Muslimah.
Katanya, London ialah bandar raya metropolitan yang memiliki pelbagai bangsa hidup bersama dan disebabkan itu, kehidupannya mudah dan pemakaian tudung tidak pernah membuatkannya rasa tidak selesa. “Saya tidak pernah berhadapan masalah perkauman dan kehidupan berjalan dengan lancar setiap hari.
“Bagaimanapun, saya akui walaupun ramai yang menerima keadaan saya yang bertudung, mereka tidak memahami mengapa perlu menutup rambut. Ada juga yang bertanya mengapa saya memakai tudung? Disebabkan itu, saya berasakan satu tanggungjawab besar untuk berkongsi mesej dengan mereka iaitu bertudung tidak menghalang saya melakukan pelbagai perkara sama seperti orang lain,” katanya.
Mariah berkata, perkembangan terbaru mengenai Islam termasuk keputusan menyekat wanita Islam di pantai Perancis secara tidak langsung memberikannya lebih kekuatan untuk terus membuka mata orang luar terhadap mereka yang berhijab. Katanya, dia mahu berusaha menyebarkan nilai positif mengenai Islam dan seterusnya menghapuskan pandangan serong orang ramai terhadap Islam.
“Kalau boleh saya mahu perkara negatif seperti itu menjadi sejarah lampau misalnya dalam tempoh 50 tahun akan datang, semua orang menoleh kembali dan mengakui perkara yang berlaku amat tidak wajar.
“Sama juga seperti satu masa dulu apabila bangsa kulit putih dan kulit hitam bekerja bersama-sama, ia seakan-akan satu kejutan, tetapi kini ia normal dan itulah yang saya inginkan,” katanya.
Sebelum dipilih sebagai model H&M, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan dari Open University United Kingdom ini juga berbakat sebagai pelakon drama dan gemar mendeklamasi sajak. Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia sedar bidang peragaan tidak mampu menjanjikan kerjaya yang berpanjangan kerana ia bergantung kepada usia.
Buat masa ini dia menumpukan perhatian kepada peragaan kerana ia sesuatu yang disukainya, selain meletakkan harapan untuk bekerjasama dengan banyak lagi jenama besar dalam dunia fesyen pada masa hadapan.
“Bagaimanapun, saya juga kembali kepada lakonan drama selain turut menjadi pemidato. Saya kini menghasilkan drama sendiri tetapi ia masih dalam peringkat awal. Sebagai pemidato pula, saya menyampaikan ucapan di hadapan semua lapisan masyarakat terutama wanita kerana topik yang saya bawa berkaitan pemerkasaan wanita, selain memiliki ramai pengikut wanita,” katanya.
Dia mahu wanita berasa selesa dan bangga dengan diri mereka selain mengingatkan, biarpun berdikari, ia tidak bermakna mereka tidak boleh membantu satu sama lain. Mariah berkata, di United Kingdom, terdapat persaingan antara wanita terutama Muslimah tetapi perkara ingin disampaikannya kepada mereka adalah semuanya satu umat yang sama serta perlu saling membantu.
Hidup biar ada impian
Berkongsi mengenai perasaannya, wanita manis ini berkata, perasaannya mudah terusik dengan orang sekeliling dan dia mudah berasa gembira apabila mereka yang rapat dengannya terutama keluarga dan rakan berasa bahagia.
Mariah yang juga duta kepada badan amal kanak-kanak terbesar di United Kingdom, Action For Children berkata, hatinya tersentuh setiap kali melihat kesengsaraan kanak-kanak yang membesar di kawasan peperangan atau didera.
Sangat meminati subjek Sejarah, Mariah mengakui dirinya sanggup berjalan sehari suntuk melawat istana lama berusia ratusan tahun yang banyak dibina di negaranya, semata-mata untuk menghayati dan mempelajari budaya. “Biarpun tidak mempunyai banyak masa lapang, saya gemar menghabiskan masa yang ada bersama keluarga, ibu dan tiga adik lelaki atau keluar bertemu rakan,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Mariah menitipkan kata-kata positif kepada golongan muda Islam dan mahu mereka mencapai impian besar dan memiliki cita-cita tinggi dalam hidup. Katanya, setiap wanita Islam perlu mempunyai impian dan boleh melakukan apa saja yang diingini selagi tidak bercanggah dengan agama.
“Malah, saya percaya kita semua tidak kira Islam atau tidak, perlu ada pegangan kukuh dalam hidup. Bagi yang bukan Islam, mereka perlu berpegang kuat kepada kepercayaan moral dalam setiap yang dilakukan.
“Pada pendapat saya, apabila menunjukkan kelemahan, orang lain akan mengambil kesempatan terhadap diri anda. Jadi kita perlu kuat dalam segala keputusan yang kita lakukan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment