Polis tidak menolak kemungkinan ada unsur jenayah dalam misteri kehilangan warga Australia, Gaskell Andrew James, 26 di Taman Negara Mulu, sejak 20 Oktober lalu. Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, selain terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) polis turut menyiasat sekiranya ada elemen jenayah dalam kehilangan mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mendaftar di Taman Negara Mulu pada jam 8.30 pagi, 19 Oktober, tetapi tiada bukti jelas bahawa dia masuk ke taman negara pada tarikh itu. “Sekiranya dia masuk ke Taman Negara Mulu, mengapa barang keperluan perkhemahan seperti khemah, beg tidur dan makanan kering ditinggalkan di rumah rakannya?” katanya.

“Beberapa persoalan itu perlu dijawab. Sekiranya dia membawa wang yang banyak, berkemungkinan dia dirompak atau dibunuh individu dikenali,” katanya yang polis akan menghantar Unit Anjing Pengesan K9 esok dan Platun Harimau dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri untuk membantu operasi SAR.
Bagaimanapun, Gabriel berkata, kumpulan SAR tetap menjalankan operasi dengan pergi ke kawasan yang mengambil masa tiga hari dua malam perjalanan. Katanya, mangsa pernah menulis dalam blog mengenai hasratnya ke kawasan paling mencabar di taman negara.

Setakat ini, seramai 40 individu dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), kakitangan Taman Negara Mulu dan penduduk kampung terbabit dalam operasi SAR. Andrew Gaskell dikatakan hilang dan gagal dihubungi sejak memasuki Taman Negara Mulu pada 20 Oktober lalu. Laporan kehilangan mangsa hanya dibuat rakannya di Balai Polis Pusat Miri pada 26 Oktober lalu.
0 comments:
Post a Comment