Polis melakukan pemeriksaan ke atas 30 penduduk di Kampung Pantai Bahagia dalam Operasi Bersepadu cegah jenayah, dadah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini pada Rabu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata operasi melibatkan dua pegawai dan 17 anggota polis lain.
Katanya, operasi bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam selain mengenal pasti dan mendokumentasi maklumat pendatang yang masuk secara sah dan tidak sah berada di daerah ini.
“Langkah-langkah pencegahan bagi mengenal pasti ancaman dan keadaan keselamatan daerah daripada PATI ke atas masyarakat tempatan yang tinggal di daerah ini,” katanya.
Douglas berkata sepanjang operasi dijalankan, 30 lelaki dan wanita diperiksa di mana 15 orang termasuk lapan wanita adalah pendatang asing sementara selebihnya warganegara.
Katanya, hasil pemeriksaan lima orang dibawa balik untuk pemeriksaan lanjut dan empat orang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
Sementara itu, katanya, seorang lelaki lagi didapati positif dadah melalui saringan ujian air kencing dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Douglas berkata operasi dilaksana dengan lancar dan mendapat respons sangat baik daripada masyarakat dan memuji tindakan berterusan yang dilaksanakan oleh polis.
0 comments:
Post a Comment