Lebih RM1 juta kerugian dianggarkan dalam insiden kebakaran yang melibatkan bangunan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Teresa di sini, lewat petang semalam. Kenyataan itu didedahkan Pengetuanya, Mary John ketika ditemui selepas kejadian malang yang meranapkan 100 peratus bangunan berusia 45 tahun itu.
Menurutnya, pelbagai barangan disimpan dalam dewan tersebut termasuk perabot dan buku teks. Beliau terkejut selepas dimaklumkan berhubung kejadian sebelum bergegas ke lokasi. “Terdapat perabot yang baharu kita terima, disimpan dalam dewan tersebut, selain buku teks dan sebagainya.
“Dewan ini digunakan sebagai tempat peperiksaan dan tempat perhimpunan. Nasib baik tidak ada aktiviti dilakukan di dewan ini ketika kejadian,” katanya.
Menurut saksi kejadian, Sister Patricia Chan, dia berada di bilik mesyuarat beberapa blok dari dewan tersebut sebelum dimaklumkan rakan setugas. “Rakan saya memberitahu, sekolah sedang terbakar ketika dia pergi ke tingkat bawah untuk menyemak bacaan pada meter elektrik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bomba Zon 1 Kuching Tiong Ling Hii ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 petang. Kebakaran itu berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan berhampiran dalam tempoh 15 minit sebelum dipadamkan sepenuhnya.
Operasi pemadaman melibatkan anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Kuching, Batu Lintang dan Petra Jaya. Menurut Tiong, tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan dan punca kebakaran masih disiasat.
Turut berada di lokasi, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, dan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian. Untuk rekod, sebanyak lapan kes kebakaran membabitkan sekolah dicatatkan setakat Oktober tahun ini bagi negeri Sarawak.
0 comments:
Post a Comment