Isu kelahiran bayi tidak sah taraf kini bagaikan barah yang sukar dirawat. Statistik terbaru menunjukkan kira-kira 4,500 remaja hamil tanpa nikah setiap tahun dengan hampir 50 peratus membabitkan remaja Islam.
Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan seramai 81,000 anak tidak sah taraf beragama Islam didaftarkan sehingga tahun 2011. Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula, seramai 257,000 anak luar nikah didaftarkan dari tahun 2000 hingga 2008, manakala bagi tempoh dua tahun (2008-2010) rekod JPN mencatat sejumlah 152,182 bayi tidak sah taraf dilahirkan.
Tiada tanda gejala sosial ini mengalami penurunan, sebaliknya menjadi makin serius dengan isu pembuangan bayi juga kerap menjadi bahan berita. Menyedari hakikat itu, Raudhatus Sakinah yang ditubuhkan pada 1998 bertujuan melindungi dan membimbing remaja Islam hamil tanpa nikah, menambah peranannya dengan menjalankan kempen pencegahan zina dalam kalangan remaja.
Pengurus Operasi program itu Abdullah Omar Muhammad Fuad berkata, kempen dinamakan ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ itu bermula pada 2007, namun digerakkan secara lebih agresif sejak 2010 melalui pembentukan satu unit khas dianggotai 10 pembimbing terlatih.
Selain beliau, sembilan pengendali projek ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Raudahtus Sakinah Rosmawati Zainal serta Siti Aini Jamil, Muhammad Fairuz Abu, Sedana Arief Razalan Sedana Omar, Muhammad Minhajul Abidin Suhaimi, Siti Zanarah Mohd Taib, Siti Nasuha Hussin, Nurul Sakinah Aziz dan Irnawati Bonifacio.
“Selama ini Raudhatus Sakinah berfungsi sebuah pusat perlindungan dan pemulihan untuk gadis Islam yang terbabit dengan seks tanpa nikah sehingga melahirkan anak tidak sah taraf. Tidak dinafikan, Raudhatus Sakinah berjaya memainkan peranan berkesan dengan 80 peratus daripada gadis yang menyertai pusat ini berjaya dibimbing dan dibawa pulang ke pangkal jalan.
“Namun, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah pada masa sama, jumlah kelahiran anak luar nikah terus meningkat sehingga pusat pemulihan seperti Raudhatus Sakinah sentiasa penuh dengan penghuni baru.
“Oleh itu kami berpendapat, selain melindungi dan membimbing remaja terlanjur, Raudhatus Sakinah juga perlu berperanan sebagai pencegah kepada gejala ini. Seperti kita menangani masalah kesihatan, zina juga memerlukan pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.
“Melalui projek ini, kami menjadikan sekolah serta institusi pengajian tinggi sebagai sasaran utama kerana daripada kajian, kebanyakan yang terbabit dengan aktiviti zina ini remaja semuda usia 12 tahun hingga 25 tahun. Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, malah turut membabitkan golongan yang menuntut di pusat pengajian tinggi,” katanya.
Mengenai modul yang diaplikasikan semasa berkempen, Abdullah Omar berkata, ia bergantung pada tahap umur dan kematangan remaja terbabit. Namun, matlamatnya tetap mengajak remaja menghindari zina.
“Bagi pelajar sekolah rendah terutama yang belum akil baligh, kami mendedahkan mereka mengenai anatomi tubuh terutama berkaitan organ seksual. Kami juga memberi bimbingan mengenai batas pergaulan antara adik-beradik dan rakan berlainan jantina.
“Ramai kanak-kanak perempuan menjadi mangsa sumbang mahram, rogol atau cabul kerana tidak didedahkan mengenai apa yang boleh atau tidak boleh, salah atau tidak. Hanya dengan sebiji gula-gula, mereka begitu mudah diperdaya.
“Bagi pelajar sekolah menengah, golongan ini dalam proses transformasi daripada kanak-kanak ke alam remaja. Kami menekankan mengenai cabaran yang bakal mereka hadapi sepanjang bergelar remaja.
“Pengaruh rakan sebaya, persekitaran serta teknologi tanpa sempadan antara yang sering menjerat mereka. Dalam usia sebegini, mereka mudah terangsang dengan kata-kata berbaur lucah serta bahan bacaan yang mudah diperoleh melalui Internet serta video lucah.
“Remaja seusia begini sering terbabit dengan cinta monyet yang akhirnya menjerat mereka dalam perangkap lelaki tidak bertanggungjawab. Sebab itu, dalam banyak kes, remaja yang berkenalan melalui media sosial akhirnya menjadi mangsa rogol secara berkumpulan.
“Penuntut pengajian tinggi pula sering terperangkap dengan perasaan cinta terhadap pasangan sehingga sanggup menggadai maruah diri demi membuktikan cinta. Sebab itu dalam kempen yang dijalankan, kami cuba membawa mereka memahami maksud cinta yang lebih luas merangkumi cinta terhadap Allah, Rasul, agama, ibu bapa, ilmu dan sebagainya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment