Di peringkat antarabangsa, Malaysia sentiasa dilihat sebagai sebuah negara yang progresif dan sentiasa mengamalkan dasar sederhana dalam segenap aspek. Malah kecekapan kepimpinan negara juga sentiasa diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dilantik sebagai ahli kehormat dalam banyak persatuan dunia.
Terbaru, Malaysia sekali lagi dilantik sebagai ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk penggal 2016 hingga 2019. Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengesahkan, pelantikan Malaysia sebagai ahli Majlis ICAO untuk penggal keempat, sejak 2007.
Beliau berkata, Malaysia meraih 129 daripada 172 undi negara yang layak memilih, sekali gus menunjukkan pengiktirafan dan kepercayaan badan antarabangsa untuk menerajui kedudukan berkenaan.
Ujar beliau, sebagai hab industri penerbangan awam di rantau ini, Malaysia komited memacu matlamat ICAO menerusi inisiatif `Tiada Negara Terpinggir' dan 'Generasi Penjawat Penerbangan Seterusnya.' Malah, Malaysia akan terus memenuhi keperluan latihan komuniti penerbangan global menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia amat berbesar hati dengan pengiktirafan ICAO susulan sumbangan Malaysia terhadap badan antarabangsa.
Presiden MCA berkenaan ketika ini menghadiri Perhimpunan Agung ICAO Ke-39, di Montreal, Kanada. Beliau berkata, Malaysia tidak pernah berkompromi dalam usaha memastikan tahap keselamatan penerbangan awam global menepati piawaian.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama dengan negara anggota ICAO menerusi pelbagai inisiatif dirangka akan diteruskan. Malaysia percaya usaha untuk menjamin keselamatan penumpang ketika penerbangan adalah keutamaan yang tidak boleh dipandang mudah, justeru ia boleh dicapai melalui kerjasama setiap negara anggota ICAO.
Sealung tahniah diucapkan kepada Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia khusunya diatas kepercayaan yang diberikan oleh komuniti antarabangsa dalam memacu hal ehwal keselamatan pengangkutan udara ini.
0 comments:
Post a Comment