SELEPAS hampir 30 minit mencari premis yang ingin dituju, rasa lelah kru Jurnal hilang serta-merta sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke ruang dalam premis Kopicat Cafe. Anak mata tidak jemu melirik pada hiasan dalaman premis yang menjalankan perniagaan berbentuk kafe itu dengan mengangkat tema kucing sebagai elemen utama.
Terletak di SS15, Subang Jaya, Selangor, Kopicat Cafe bukan sahaja menyajikan pelbagai jenis minuman berasaskan kopi khusus untuk pencinta minuman tersebut, bahkan juga menyediakan ‘hiburan’ untuk pelanggan yang gemarkan kucing untuk bermain.
Menurut pemilik Kopicat Cafe, Mohd. Khairol Izwan Kamaruddin, 26, minatnya terhadap kucing membawa idea untuk dia membuka sebuah kafe berkonsepkan haiwan tersebut sebagai daya tarikan di situ.
“Kopicat Cafe baharu sahaja memulakan operasi pada Ogos 2016 dan mula menjadi buah mulut orang ramai terutamanya pencinta kucing,” ujar Khairol.
Kucing jalanan
Mengetengahkan suasana tenang dan sederhana, Kopicat Cafe sangat sesuai untuk pelanggan terutamanya pelajar yang hendak mengulangkaji pelajaran mahupun menyiapkan tugasan mereka di kafe tersebut.
Menurut Khairol, pelanggan yang datang Kopicat Cafe itu hanya perlu memesan minuman dan dapat meluangkan masa bermain dengan kucing-kucing yang terdapat di cafe itu dengan percuma. Bercerita lebih lanjut, Khairol memberitahu, kucing-kucing yang terdapat di Kopicat Cafe merupakan kucing jalanan yang ditemui tanpa tuan.
Sehingga kini, terdapat lebih 12 ekor kucing yang ditempatkan di kafe tersebut dan dijaga dengan baik dari segi kesihatan dan kebersihan. Bagi menjamin keselesaan dan kebersihan di kafe itu, kucing-kucing tersebut ditempatkan di satu ruang khas yang terpisah di antara kawasan untuk menjamu selera dengan ruang untuk bermain dengan kucing.
“Ketika menikmati minuman kopi, pelanggan boleh meninggalkan meja mereka buat sementara waktu untuk bermain dengan kucing yang jinak dan manja ini,” tutur Khairol sambil membelai seekor kucing berbulu putih.
Kebersihan
Pengalaman kru Jurnal sendiri berada di situ mendapati, bilik berkaca yang menempatkan kesemua kucing berada dalam keadaan bersih dan langsung tidak berbau. “Kami akan membersihkan tempat kucing ini sebanyak dua kali sehari bagi memastikan pelanggan selesa sepanjang berada di sini,” tutur anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu.
Selain itu, kucing-kucing jalanan yang dibela itu akan dikasi bagi mengelak ia daripada membiak tanpa kawalan. Kucing-kucing itu juga diberikan rawatan sempurna termasuk dihantar ke pusat rawatan kucing untuk dimandikan dan dirapikan
Selepas hampir lapan bulan beroperasi, Kopicat Cafe kini mempunyai empat orang pekerja semakin rancak menerima kehadiran pelanggan terutama pada hujung minggu yang ingin menenangkan fikiran dan beriadah di situ.
Melihat pada potensi Kopicat Cafe yang menerima sambutan baik oleh pelanggan, Khairol juga menerima beberapa kehendak pelanggan untuk membawa kucing mereka bermain di situ. “Buat masa ini kami belum lagi boleh membenarkan pelanggan membawa kucing mereka ke sini kerana bimbang haiwan itu bergaduh kerana belum serasi,” kata anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu.
Bagaimanapun, Khairol merancang untuk membuka satu ruang baharu khusus untuk pelanggan meletakkan kucing peliharaan mereka di situ sambil menikmati secawan kopi.
0 comments:
Post a Comment