My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 5 October 2016

    Jeti Persendirian Sepanjang Sungai Sarawak Ditutup

    IKONIK: Masing (dua kanan) mendengar taklimat mengenai Kompleks Perikanan LKIM Tanjung Bako daripada Irmohizam (kiri) sambil disaksikan yang lain semasa lawatannya semalam.

    Semua jeti persendirian yang ada di sepanjang Sungai Sarawak akan ditutup sejurus pembinaan Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Bako siap sepenuhnya bagi fasa pertama dan fasa keduanya.

    Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, kompleks yang sudah siap 93.7 peratus fasa pertamanya akan menjadi pusat sehenti pendaratan tangkapan ikan untuk nelayan kawasan Kuching.

    Menurutnya yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, terdapat 10 jeti persendirian atau haram di sepanjang Sungai Sarawak termasuk empat dalam kawasan dan enam luar kawasan Baraj Sungai Sarawak.

    “Antara sebab mereka tidak mendaratkan tangkapan di pelabuhan seperti ini adalah kerana kita terlalu banyak jeti persendirian, yang mana mereka buat pemunggahan di sana tetapi tangkapan dijual di tempat lain.

    “Maka itu sejurus sahaja Kompleks Perikanan LKIM Tanjung Bako ini siap sepenuhnya, saya akan mengemukakan kepada kerajaan negeri untuk menutup semua jeti persendirian agar semua hasil tangkapan akan dipunggah di kompleks ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pelabuhan LKIM Tanjung Bako di sini, semalam.

    Tambah Masing, selain menutup semua jeti persendirian yang juga haram itu, kementeriannya juga akan menutup Baraj Sungai Sarawak kepada bot-bot nelayan untuk masuk ke Kuching dan menutup jeti LKIM di Bintawa.

    Katanya ia bagi mengelak bot atau kapal nelayan berkenaan melakukan pendaratan tangkapan serta menjual di tempat lain selain hanya di kompleks. Beliau berkata kesemua langkah itu akan dilaksanakan sebaik sahaja Kompleks LKIM Tanjung Bako siap sepenuhnya bagi fasa pertama dan fasa keduanya, yang bakal memberi manfaat atau kemudahan kepada semua nelayan di kawasan Kuching.

    “Apa yang menjadi keutamaan kepada kita adalah, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil kerana kalau tidak, maka tidak ada gunanya ada kemudahan sebegini yang sekali gus akan mewujudkan projek gajah putih kepada negeri kita.

    “Kompleks LKIM ini bukan sahaja antara kompleks perikanan terbesar di Malaysia tetapi juga mematuhi standard atau piawaian Kesatuan Eropah (EU) yang bermakna ikan kita boleh dipasarkan ke EU. Seperti semua sedia maklum pasaran EU adalah amat ketat dan ada beberapa kriteria perlu kita patuhi, maka itu amat penting untuk kita mematuhi semuanya,” tegasnya.

     Terdahulu dalam ucapannya, Masing berkata dengan menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sepenuhnya ia akan merealisasikan matlamat menjadikan kawasan kompleks sebagai Pasar Nelayan dapat dicapai.

    “Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi memperuntukkan satu kawasan di dalam kompleks ini bagi membina Pasar Nelayan dan ia sekali gus yang seumpamanya di negara kita,” katanya.

    Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi LKIM Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim serta ahli kabinet negeri dan persekutuan lain.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jeti Persendirian Sepanjang Sungai Sarawak Ditutup Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top