Eksport Malaysia ke negara ASEAN kekal berdaya saing apabila mencatatkan peningkatan 2.6 peratus untuk tujuh bulan pertama tahun 2016. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata, berdasarkan peningkatan itu, pihaknya berharap nilai dagangan akan berkembang dengan lebih positif sehingga akhir tahun ini.
Katanya, tahun lalu, negara merekodkan nilai dagangan dengan negara ASEAN sebanyak AS$102.87 bilion (RM424.29 bilion). “Tahun lalu, negara merekodkan 28.1 peratus membabitkan eksport dengan negara di ASEAN.
“Peningkatan eksport ini didorong eksport membabitkan pelbagai jenis barang termasuk barangan litar bersepadu elektronik, barangan perkilangan logam, jentera dan bahan kimia,” katanya selepas merasmikan Pameran Rentas Sempadan ASEAN, di sini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan Thailand Winichai Chaemchang, Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Dzulkifli Mahmud.
Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, antara langkah untuk meningkatkan nilai dagangan dengan ASEAN adalah dengan menggalakkan dan memantapkan aktiviti perdagangan di sempadan.
“Kedudukan geografi kebanyakan negara ASEAN yang terletak berhampiran antara satu sama lain perlu dimanfaatkan oleh usahawan untuk menembusi pasaran ke negara luar. Sebagai contoh, nilai dagangan antara negara dengan Thailand di sempadan merekodkan sehingga AS$13.8 bilion (RM56.92 bilion) tahun lalu.
“Oleh itu, saya melihat adalah penting untuk semua negara di ASEAN berusaha mencari jalan terbaik untuk memudahkan urusan perdagangan rentas sempadan,” katanya.
Sementara itu, Tee Yong berharap Pameran Rentas Sempadan ASEAN yang julung kali diadakan di negara ini akan dimanfaatkan oleh usahawan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Pameran ini mampu membuka lebih peluang eksport kepada komuniti perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri mikro untuk membabitkan diri dalam aktiviti perniagaan antarabangsa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment