My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 4 October 2016

    Media Sosial Membuka Ruang Kes Kecurangan





    PERKAHWINAN merupakan ikatan suci yang perlu dilayari dengan penuh kasih sayang tanpa adanya khianat atau kecurangan kerana perbuatan itu akan menghancurkan kebahagiaan pasangan tersebut. 

    Saban hari, media massa atau sosial akan menghidangkan pelbagai berita mengenai isu kecurangan, sekali gus membuktikan bahawa masalah itu tidak terbendung lagi dalam masyarakat kita pada hari ini.

    Baru-baru ini, media sosial memaparkan aksi seorang isteri memukul suaminya dan seorang wanita yang dikatakan berlaku curang di sebuah hotel di Pekan Sungai Golok, Thailand. Keadaan itu sangat membimbangkan dan mendatangkan kerisauan kepada mereka yang masih bujang kerana dikhuatiri perkara sama akan terjadi apabila mereka berkahwin kelak.

    Pensyarah di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Madya Dr. Zaiton Hassan berkata, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada perbuatan curang antaranya, berasa jemu atau bosan dengan pasangan masing-masing.

    “Perasaan itu mungkin terjadi kerana kasih sayang mula pudar dalam diri, lantas berasakan orang lain lebih baik berbanding pasangan sendiri. Selain itu, ia juga terjadi kerana niat yang tidak jelas mengenai tujuan perkahwinan tersebut dan kurangnya ilmu agama mengenai tugas serta tanggungjawab apabila melayari bahtera rumah tangga,” katanya ketika dihubungi media baru-baru ini.

    Tambah Zaiton, lebih memburukkan keadaan apabila pergaulan yang tidak ada batasan antara lelaki dan perempuan yang masih bujang atau sudah berkahwin. Tambahan pula, penggunaan media sosial yang semakin berkembang membuka ruang kepada perkara itu.

    Melihat kepada masalah kecurangan yang terjadi pada hari ini, beliau berkata, ia bukan hanya dilakukan oleh suami tetapi isteri juga tidak terkecuali daripada perbuatan terkutuk itu.

    “Wanita sekarang lebih berdikari dan mempunyai pekerjaan sendiri, malah ruang pergaulan juga bertambah luas berbanding pada zaman dahulu. Pada ketika itu, kaum Hawa hanya lebih tertumpu di rumah bersama suami dan anak-anak.

    “Keadaan ini membuatkan mereka berasa bebas untuk melakukan apa sahaja dan tidak bergantung sepenuhnya kepada suami,” jelasnya.

    Mawaddah

    Sementara itu, Pendakwah Bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, ikatan perkahwinan bertujuan untuk menghalalkan hubungan suami isteri dan di dalamnya ada rahmat serta kasih sayang. 

    “Di dalam kasih sayang atau mawaddah itu mengandungi kesetiaan, pengorbanan dan kebahagiaan. Suami wajib memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri serta melayannya dengan penuh kelembutan,” tuturnya.

    Mengulas mengenai masalah kecurangan, Mohamed Hanafiah berkata, kebanyakan orang kita malu untuk berbincang sekiranya mempunyai masalah dalam hubungan intim dan membiarkan ia begitu sahaja.

    “Sepatutnya, pasangan itu perlu lebih terbuka dalam hal ini dan mencari jalan keluar seperti mendapatkan rawatan bagi mengelakkan perkara buruk pada masa akan datang. Selain itu, penyalahgunaan laman sosial juga menyebabkan masing-masing leka dengan telefon walaupun ketika menjamu selera sehinggakan tidak ada masa berkualiti ketika bersama.

    “Tidak kurang juga masalah ketagihan pornografi yang mempengaruhi individu itu untuk melakukan perbuatan maksiat dan melemahkan kekuatan iman,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohamed Hanafiah berkongsi tip untuk membina rumah tangga yang harmoni antaranya adalah memberi perhatian dan pujian kepada pasangan sebelum orang lain berbuat demikian.

    Selain itu, peluklah suami atau isteri kerana perbuatan itu boleh meredakan kemarahan, menenangkan fikiran dan memberi semangat kepada mereka untuk bersama-sama menjadi pasangan yang terbaik. 

    “Pujukan dan beri penghargaan juga penting untuk menghangatkan lagi kasih sayang. Setelah melakukan semua itu, periksa dan baikilah sekiranya ada kekurangan dalam perhubungan tersebut,” terangnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Media Sosial Membuka Ruang Kes Kecurangan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top