KONSERVASI spesies buaya khususnya di Malaysia telah menjamin kelangsungan hidupan liar tersebut sekali gus menghalangnya daripada diancam kepupusan. Pelindungan buaya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 telah mengukuhkan sempadan pemburuan terhadap spesies tersebut terutama di sekitar habitat Malaysia Barat.
Penguatkuasaan ini telah membawa kepada peningkatan spesies buaya terutama di negeri Sarawak melebihi 100 peratus berbanding pada tahun 1978. Perkembangan spesies buaya khususnya di Sarawak dilihat sebagai satu ancaman kepada manusia rentetan konflik antara hidupan liar berkenaan membawa kepada banyak kes kematian sejak beberapa tahun lalu.
Kebimbangan ini turut menjadi intipati buat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang akan berbincang dengan kerajaan Sarawak bagi memperhalusi dan menetapkan garis panduan serta peraturan dalam memburu dan memperdagangkan buaya.
Perkara tersebut telah dinyatakan dalam satu laporan akhbar sebelum ini yang menyatakan bahawa tindakan tersebut dibuat susulan kejayaan Malaysia menurun taraf kategori buaya kepada Appendiks II supaya ia boleh diburu.
Konflik
Dalam laporan tersebut, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan pemburuan dan perdagangan buaya hanya meliputi Sarawak memandangkan kebanyakan konflik dengan reptilia itu banyak direkodkan di negeri tersebut.
Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa ketika ini terdapat 13,500 ekor buaya di lebih 40 sungai Sarawak dan Kota Samarahan mencatat peratus peningkatan populasi cukup tinggi, menjangkau sehingga 108.5 peratus pata tahun ini manakala Limbang 38 peratus dan Batang Lupar 28 peratus.
Ia membawa kepada 52 kes berkaitan serangan buaya dilaporkan yang melibatkan kehilangan kira-kira 27 nyawa. Respons bercampur-baur terhadap kebenaran pemburuan buaya sebagai haiwan dagangan membawa kepada persoalan terhadap relevensi dan efek terhadap kelangsungan spesies tersebut.
Meskipun ia masih dalam perbincangan, secara analoginya aktiviti pemburuan terhadap hidupan liar sebelum ini tidak memberi kesan yang baik terhadap keseimbangan ekosistem alam sekitar. Malah, dengan nilai pasaran buaya yang tinggi ada berkemungkinan aktiviti pemburuan haram semakin berleluasa.
Menurut Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail, konflik antara buaya dan manusia perlu dilihat secara lebih dekat dengan melihat puncanya. Boleh jadi ia disebabkan berlakunya gangguan habitat, kurang makanan atau sifat liarnya yang mengancam manusia.
“Cadangan menangkap buaya untuk perdagangan perlu diperhalusi dengan maklumat tentang sejauh manakah data tentang populasi buaya di sungai-sungai Sarawak dari segi biologi, ekologi, kawalan dan pengurusannya.
“Ia akan menjadi satu cadangan yang baik sekiranya pengurusan populasi buaya dalam habitat semula jadi teratur malah, satu peraturan serta sistem kawalan yang lengkap perlu disediakan bagi mengelakkan buaya terus pupus,” katanya baru-baru ini.
Konservasi
Tambahnya, kedudukan buaya dalam Appendiks I telah menunjukkan kerajaan telah berjaya dalam konservasi buaya di Sarawak dan populasi buaya meningkat.
Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Abd. Wahid Haron memberitahu, pemburuan buaya untuk tujuan dagangan perlu diseimbangkan dengan keupayaan reproduksi haiwan berkenaan dalam habitatnya.
“Kita perlu melihat secara mendalam tentang perkara ini. Untuk menghapuskan buaya memang mudah tetapi memastikannya tidak pupus adalah perkara yang perlu diutamakan.
"Kita masih mempunyai banyak lagi spesies buaya yang belum diterokai dan mungkin ada antaranya merupakan khazanah negara daripada kumpulan haiwan terancam serta menjadi keperluan golongan penyelidik untuk melakukan kajian mendalam bagi melampirkan kekuatan ekologi buaya secara saintifik,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment