My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 2 October 2016

    Sabah Mampu Jadi Hab Rawatan Penyakit Berkait Sistem Respirasi



    Sabah melalui Hospital Queen Elizabeth (HQE) mampu menjadi hab untuk rawatan penyakit berkait sistem respirasi (pernafasan). Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah penghidap penyakit itu agak tinggi di negeri ini dan ramai yang berminat untuk menjalani rawatan berkenaan. 

    “Kita mendapati Sabah mencatatkan kes yang tinggi untuk penyakit sistem respirasi. Justeru, ini secara tidak langsung membuka peluang kepada para pengamal perubatan untuk membangunkan sektor rawatan penyakit ini. Usaha ini juga mendapat sokongan penuh Kementerian Kesihatan dengan bantuan latihan serta kemudahan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Pelancaran Kedua Persatuan Bronkologi dan Intervensi Pulmonologi Malaysia (MABIP) di HQE, di sini, kelmarin. Menurutnya jumlah pesakit yang ramai di Sabah juga menjadi aset untuk pembangunan rawatan respirasi dalam menjadikan negeri ini sebagai hab.

    Noor Hisham berkata kebanyakan pesakit menghidap pelbagai jenis penyakit seperti lelah, kanser, COPD (chronic obstructive pulmonary disease), serta tuberculosis. “Secara kebetulan, HQE mencatatkan jumlah kes intervensi tertinggi yang berjaya diselesaikan di Malaysia. Negeri ini juga mempunyai pakar pulmopnologi di Tawau yang boleh membantu meringankan beban pihak HQE,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut berharap Sabah mampu menjalankan lebih banyak kes yang sofistikated. Menurutnya pakar di Sabah dan Sarawak memerlukan bantuan kemudahan yang sepatutnya. Ia kerana jelasnya, kebanyakan kes pesakit perlu dirujuk ke Kuala Lumpur dan ia bukannya satu tindakan yang praktikal dan sewajarnya.

    "Sekiranya kemudahan peralatan lengkap disediakan di negeri ini, ia sekali gus menggalakkan lebih ramai pakar muda untuk bekerja dan menjalani latihan di kedua-dua negeri berkenaan. Sebelum ini, pengasas kepada rawatan respirasi Dr Jamalul Azizi Abdul Rahaman hanya bermula dengan sebuah bilik kecil dengan bantuan seorang doktor.

    “Namun kini, rawatan ini semakin berkembang maju dengan adanya satu jabatan bersama tiga pakar dan 12 pegawai perubatan untuk dua wad,” katanya.

    Setakat ini, jumlah pakar untuk rawatan penyakit berkait sistem respirasi seramai 27 orang di seluruh negara dan 16 orang lagi adalah pakar untuk pelatih pasca sarjana. Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sabah Mampu Jadi Hab Rawatan Penyakit Berkait Sistem Respirasi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top