Pesta Tasik Biru yang ikonik dengan daerah ini berpotensi untuk dijadikan sebagai acara antarabangsa jika semua agensi dan badan yang berkaitan bekerjasama untuk memanfaatkan potensinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata pesta ini merupakan satu-satunya di Sarawak dan Malaysia amnya yang melibatkan perlumbaan jong iaitu perahu layar kecil. Jika dipromosikan secara luas, katanya, pesta ini mampu menarik penyertaan peminat jong dari seluruh dunia sekali gus melonjakkan aktiviti pelancongan di daerah ini dan Sarawak.
“Adalah menjadi harapan saya agar festival ini dapat dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri supaya ia dapat dipromosikan ke peringkat antarabangsa. Pesta ini boleh menjadi pusat kepada semua aktiviti pelancongan di daerah ini dan dari sini pelancong boleh berkunjung ke Gua Pari dan Gua Angin atau terus ke Pasar Serikin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pesta tersebut di pekarangan Tasik Biru di sini semalam mewakili Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit.
Terdahulu dalam ucapannya, Miro yang juga penaung pesta berkata pesta ini wajar dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri. Keindahan Tasik Biru, katanya, amat sinonim dengan daerah ini dan ia amat dekat di hati rakyat di sini terutama selepas dijadikan sebagai kawasan rekreasi.
“Pesta ini telah berjaya mengumpulkan masyarakat tanpa mengira bangsa untuk bekerjasama memastikan kejayaannya. Ini amat mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian seperti yang dimahukan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” katanya.
Sebagai sokongan kepada penganjuran pesta ini, Miro turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada jawatankuasa penganjur dan RM20,000 lagi daripada Dawos yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo. Turut hadir, Pegawai Daerah Bau, Inting Nyami yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur Pesta Tasik Biru 2016.
0 comments:
Post a Comment