Taiwan terus komited untuk meneruskan kerjasama dagangan dua halanya bersama kerajaan Malaysia menerusi pengenalan dasar ekonomi baharunya iaitu Pelan Promosi Dasar Pandang Ke Selatan Baru yang dijangka menjana manfaat bersepadu antara kedua-dua kerajaan.
Selain Malaysia, Taiwan nekad membentuk jalinan kerjasama bersepadu untuk jangka masa panjang dan komprehensif bersama 18 lagi negara iaitu 10 negara anggota ASEAN, enam negara Asia Selatan, Australia dan New Zealand.
Ketua Misi dan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Chang James Chi-Ping berkata, kerjasama dagangan antara Taiwan dan Malaysia adalah usaha strategik bagi membangunkan lebih banyak pertumbuhan ekonomi selain berkongsi kepakaran dalam industri tertentu.
Beliau berkata, melalui dasar ekonomi baru itu, kerajaan Taiwan yakin ia mewujudkan kemakmuran ekonomi serantau berteraskan empat elemen iaitu penggalakan kerjasama ekonomi, pertukaran bakat, perkongsian sumber dan jalinan hubungan serantau.
Katanya, selain fokus kepada pertumbuhan ekonomi lebih berdaya maju dan mampan, dasar itu turut mengetengahkan pemacu lain seperti pendidikan, kebudayaan, teknologi, modal dan pertukaran kepakaran bersama.
“Apa yang penting, melalui Pelan Promosi Dasar Pandang Ke Selatan Baru ini, kerajaan Taiwan melihat keperluan mempunyai rangkaian hubungan lebih baik dalam memperkukuh kedudukan negara selain meningkatkan pelaburan luar asing (FDI).
“Malaysia berada pada kedudukan dan lokasi yang strategik di tengah rantau Asia Tenggara menjadikan ia sebagai negara tumpuan Taiwan untuk melakukan kerjasama ekonomi lebih rancak lagi.
“Malaysia juga negara anggota perjanjian blok dagangan komprehensif Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjadikannya lebih berprofil tinggi dalam hubungan dagangan bersama Taiwan,” katanya kepada media, di sini.
Chi-Ping berkata, antara bidang ekonomi lain yang berpotensi untuk diterokai di Malaysia adalah industri halal yang mempunyai prospek luas bagi pelaburan yang memberi pulangan untuk kedua-dua pihak. Katanya, dalam industri halal seperti produk makanan, bioteknologi, perubatan, e-pembuangan dan e-perdagangan antara bahagian bakal dibangunkan dengan menyeluruh.
Menerusi polisi ekonomi Dasar Pandang ke Selatan (Go South Policy) sejak 1990 sehingga 2015, Taiwan merekodkan nilai pelaburan AS$12.1 bilion sepanjang pembabitan dagangan dua halanya dengan Malaysia.
Selain itu, segmen dagangan eksport dan import turut mencatatkan jumlah memberangsangkan dalam tempoh sama iaitu AS$13.6 bilion, sekali gus membuktikan usaha sama antara dua kerajaan begitu kukuh sejak sekian lama.
Jumlah dagangan pada Januari hingga Julai 2016 menunjukkan peningkatan 2.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menjadi AS$8.67 bilion disumbangkan produk dan perkhidmatan pelbagai industri. Mengulas mengenai sektor pelancongan, Malaysia dan Taiwan antara destinasi popular bagi pelancong seluruh dunia apabila pada tahun lalu, pelancong antara kedua-dua negara mencatat kemasukan sehingga 710,000 orang.
“Kami juga menghargai inisiaitif Kerajaan Malaysia yang melanjutkan tempoh berada di negara ini dari 15 kepada 30 hari berkuat kuasa pada 15 September 2015. Usaha itu turut menyumbang kepada peningkatan pelancong Malaysia ke Taiwan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sebanyak 8.27 peratus menjadi 265,000 manakala pelancong Taiwan ke Malaysia sebanyak 170,000 meningkat 16.83 peratus,” katanya.
Lebih menarik, Chi-Ping berkata, pihaknya menyasarkan untuk menerima kunjungan lebih 710,000 pelancong antara Taiwan dan Malaysia pada penghujung tahun ini. Selain pelancongan, Taiwan turut mempunyai kepakaran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta peralatan elektrik dan elektronik selain terbukti melalui jenama terkemuka global iaitu Acer dan Asus yang menjual produknya di seluruh dunia.
0 comments:
Post a Comment