My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 10 October 2016

    Kepentingan Belajar Ilmu Ikthiar Hidup






    Selepas mendengar cerita mengenai keseronokan menyertai aktiviti perkhemahan daripada kawan-kawan sekolah, Nur Amani Ridzuan, 15, tidak sabar untuk merasai pengalaman itu.

    Impian Nur Amani menjadi kenyataan apabila dia berpeluang mengikuti program Asas Perkhemahan dan Kemahiran Hidup anjuran Kelab Kembara PPR Hiliran Ampang di Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor baru-baru ini.

    Seramai 38 peserta yang terdiri daripada remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Kuala Lumpur menyertai program itu. “Sebelum ini, saya hanya mendengar cerita mengenai keseronokan menyertai aktiviti perkhemahan daripada kawan-kawan sekolah.

    “Ini adalah kali pertama saya menyertai aktiviti perkhemahan seperti ini dan saya teruja untuk merasai keseronokan itu. Banyak ilmu mengenai asas-asas perkhemahan yang betul dapat saya pelajari apabila menyertai program ini, antaranya mengenali jenis-jenis khemah, pemilihan kawasan untuk mendirikan khemah dan menghidupkan unggun api,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Lokman, Kuala Lumpur itu.

    Tambahnya, dengan ilmu yang dipelajari itu, dia kini memahami kepentingan memilih kawasan yang sesuai untuk melakukan aktiviti perkhemahan.

    Jaga adab

    Selain itu, para peserta juga didedahkan tentang adab-adab yang perlu dijaga sepanjang melakukan sesuatu aktiviti perkhemahan terutamanya di dalam hutan. “Selain mempelajari tentang asas-asas perkhemahan, saya dapat menjalin hubungan baik dengan kawan-kawan lain yang tinggal di kawasan perumahan saya.

    “Sebelum ini, kami hanya mengenali begitu sahaja dan jarang bertegur sapa tetapi apabila menyertai program ini, kami menjadi semakin akrab,” jelasnya.

    Nur Amani menambah, dia berasa tidak puas menyertai aktiviti itu dan bertekad untuk menyertai program seumpama itu pada masa depan.

    “Ini kerana, ia sesuatu yang menyeronokkan apabila dapat dekat dengan alam semula jadi. Aktiviti berbentuk perkhemahan merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan kini, ia menjadi kegemaran generasi muda terutamanya para pelajar.

    "Ia bukan sahaja boleh mengurangkan tekanan belajar tetapi menjadi medan terbaik untuk pelajar meningkatkan kemahiran diri, mengasah bakat kepimpinan dan menambah pengetahuan bukan akademik."

    Dalam pada itu, seorang lagi peserta, Muhammad Razmi Azman, 14, berkata, dia sememangnya amat menyukai aktiviti-aktiviti perkhemahan tetapi kurang mendapat peluang untuk menyertai program seperti itu kerana ia jarang dianjurkan.

    “Sebaik sahaja mengetahui bahawa Kelab Kembara PPR Hiliran Ampang mahu menganjurkan program itu, saya terus meminta kebenaran ibu bapa untuk menyertainya. Program ini bukan sekadar memberi keseronokan semata-mata tetapi ia banyak mengajar ilmu yang berguna kepada kami,” katanya. Tambahnya, melalui program itu, dia dapat mengasah bakat kepimpinan kerana ia banyak melibatkan aktiviti berkumpulan.

    Kecemasan

    Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan teknik-teknik ikatan tali dan cara-cara untuk memberikan bantuan kecemasan jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini sepanjang aktiviti perkhemahan. Dalam pada itu, para peserta juga dibawa meredah hutan di sekitar Sungai Chiling untuk merasai keseronokan melakukan aktiviti riadah seperti itu.

    “Kami bukan sahaja diajar tentang asas-asas perkhemahan tetapi pihak penganjur juga memberikan panduan dan tip yang berguna jika kami mahu melakukan aktiviti meredah hutan serta seumpamanya,” jelas Razmi.

    Sementara itu, jurulatih program, Saiful Azman Abd. Kadir, 55, berkata, kebanyakan generasi muda hari ini tidak mengetahui tentang asas-asas perkhemahan. “Mereka suka melakukan aktiviti riadah seperti ini tetapi tiada ilmu. Sebab itu, ia boleh mengundang berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini.

    “Bagi aktiviti luar seperti perkhemahan, meredah hutan dan mendaki gunung, mereka perlu mempunyai ilmu-ilmu asas serta etika tertentu,” katanya.

    Saiful Azman berkata, pada program itu, dia cuba memberikan ilmu asas tentang aktiviti perkhemahan dari aspek pemilihan kawasan. “Perkara utama yang perlu diambil kira untuk memilih lokasi mendirikan khemah adalah kawasan tanah rata dan kering.

    “Lokasi untuk mendirikan khemah juga harus tinggi sedikit daripada kawasan sekitarnya bagi mengelak air bertakung jika berlaku hujan lebat,” katanya.

    Khemah juga tidak digalak untuk didirikan di bawah pokok yang besar dan tua kerana dikhuatiri dahan-dahan pokok itu terjatuh serta menghempap khemah. Selain itu, sumber alam semula jadi terutamanya air harus diambil kira untuk memilih kawasan atau tapak perkhemahan.

    Punca air adalah penting untuk kita memasak, minum, membersihkan diri dan sebagainya. “Namun, dilarang untuk mendirikan khemah terlalu dekat dengan sungai kerana dikhuatiri paras air akan naik dengan cepat secara tiba-tiba jika berlaku hujan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kepentingan Belajar Ilmu Ikthiar Hidup Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top