Jika sebelum ini, NGO BERSIH berbangga kerana tiada sebarang halangan atau gerakan yang mengganggu perhimpunan yang dianjurkan oleh mereka, namun dalam penganjuran himpunan haram BERSIH 5 kali ini, mereka terpaksa berhadapan dengan saingan yang tidak di jangka, iaitu gerakan Baju Merah.
Jika dilihat kepada pengumuman yang dibuat oleh Maria Chin Abdullah semasa mengumumkan penganjuran BERSIH 5 pada 19 November ini, secara jelas dia menyatakan himpunan ini bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat semasa Pilihan Raya Umum yang ke 13 lalu.
Malah, dia secara terbuka mengumumkan akan menggerakkan konvoi himpunan BERSIH 5 di beberapa lokasi di seluruh negara bagi menarik lebih ramai peserta untuk menjayakan himpunan berkenaan. Hal ini telah menarik perhatian pihak Polis DiRaja Malaysia yang menegaskan, Maria perlu mendapat permit dan keizinan dari pihaknya terlebih dahulu sebelum melakukan perhimpunan.
Namun, seperti biasa, BERSIH tidak pernah akur kepada perintah dari pihak berkuasa dan mula melancarkan konvoi mereka bermula di Lumut, minggu lalu. Bagi Gerakan Baju Merah, pengumuman yang dibuat Maria ini telah memberikan mereka semangat untuk menjadi benteng penghalang utama buat BERSIH dari menjayakan konvoi mereka.
Akibatnya, pada konvoi pertama BERSIH di Lumut, mereka telah dihalang secara terbuka oleh Gerakan Baju Merah ini. Walaupun tiada sebarang aksi panas dirakamkan, namun ianya telah berjaya membuka mata penganjur BERSIH untuk menilai amaran yang telah diberikan oleh Gerakan Baju Merah sebelum ini.
Menyangkakan, insiden di Lumut mungkin secara kebetulan, mereka bertindak menganjurkan lagi konvoi di Johor Bharu. Sekali lagi, konvoi ini mendapat tentangan Gerakan Baju Merah cuma kali ini mereka dilindungi oleh pihak PDRM dari didekati oleh Baju Merah. Hal yang sama turut berlaku di Alor Setar di mana konvoi ini dihalau keluar oleh Baju Merah.
Namun, insiden yang berlaku di Sabak Bernam menampakkan, pertembungan antara Gerakan Baju Merah dan BERSIH ini sudah memasuki aras baru. Dilaporkan seorang peserta BERSIH di terajang oleh peserta Baju Merah disebabkan provokasi melampau peserta berkenaan yang membunyikan ekzosnya terlalu kuat di hadapan para peserta Baju Merah.
Di beritakan, pihak polis sudah memisahkan dua kelompok ini pada jarak 100 meter untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Namun, apa yang dirancang, tidak mungkin berlaku seperti mana yang dirancang. Insiden ini jelas menunjukkan, perseteruan antara dua kumpulan ini mungkin akan berubah menjadi pergaduhan yang tidak terkawal.
Apakah punca semua ini berlaku? Menurut beberapa pemerhati, antara punca kenapa ianya berlaku adalah, kegagalan pihak berkuasa menangani rancangan himpunan BERSIH ini lebih awal hanya disebabkan Akta Perhimpunan Aman 2012. Jika diamati apa yang dirancang oleh BERSIH, mereka dari awal-awal lagi mahu menjatuhkan kerajaan, sesuatu yang cukup bahaya untuk dibiarkan.
Lebih memburukkan keadaan, ada dikalangan pengikut Gerakan Baju Merah mempertikaikan kenapa pihak berkuasa langsung tidak bertindak menahan Maria Chin selaku penganjur dan membiarkan BERSIH melakukan perhimpunan mereka sambil siap diiringi oleh pihak polis. Adakah rancangan mereka mahu menjatuhkan kerajaan turut dilindungi oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 sehingga melayakkan mereka dilindungi oleh polis?
Menurut seorang peserta Baju Merah yang enggan nama dan gambarnya disiarkan, mereka sebenarnya langsung tidak berminat untuk berhimpun jika BERSIH tidak memulakannya. Katanya, BERSIHlah penyebab mereka bangkit untuk berhimpun bagi menjalankan tanggungjawab untuk melindungi kerajaan. Namun apa yang disesalkan, sehingga insiden di Sabak Bernam berlaku, pihak berkuasa masih membiarkan himpunan dan konvoi ini terus berjalan.
Apa yang dibimbangi kini adalah, andai BERSIH dan Gerakan Baju Merah kekal bertembung sehingga 19 November nanti, ditambah tiada sebarang halangan keras dari pihak PDRM, besar kemungkinan, ada dikalangan peserta kedua-dua belah pihak mungkin bakal hilang pertimbangan dan bertindak sendiri dan sekaligus mencetuskan pergaduhan besar.
Sambil menegaskan, Gerakan Baju Merah hanya bertindak sebagai penghalang kepada himpunan BERSIH dan sentiasa mematuhi undang-undang, beliau turut kesal dengan sikap pihak berkuasa yang adakalanya dilihat melindungi peserta konvoi BERSIH sedangkan mereka secara terang-terangan memperlekehkan undang-undang dan mahu menjatuhkan kerajaan.
Atas sebab inilah, Gerakan Baju Merah melihat, BERSIH seperti kebal kepada undang-undang dan himpunan haram serta konvoi mereka dilindungi. Beliau menggesa agar pihak berkuasa menyekat sebarang penganjuran konvoi atau himpunan BERSIH dan menangkap individu yang menganjurkan semua himpunan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Mungkin ada benar dakwaan beliau. Mudah untuk difahami, pihak berkuasa hanya menjalankan tugas dan meleraikan sebarang ketegangan yang mungkin dan telah berlaku. Namun, jika pertembungan idealogi ini tidak dikawal dengan lebih awal, apa yang dibimbangi oleh pemerhati dan wakil Gerakan Baju Merah ini, mungkin ada asasnya.
0 comments:
Post a Comment