My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 2 August 2017

    Didik Rasa Bersyukur



    Cabaran ibu bapa masa kini untuk mendidik dan membesarkan anak memang hebat. Mereka perlu berdepan perkembangan pesat teknologi canggih termasuk gajet yang banyak memberi pengaruh kepada pemikiran anak. 

    Perkara ini secara tidak langsung memaksa ibu bapa berfikir secara kreatif dan sentiasa menambah ilmu bagi merangka kaedah mendidik yang sentiasa berubah sesuai peredaran zaman. Biarpun sibuk dengan tugasan harian, ia bukan alasan untuk ibu bapa melepaskan tanggungjawab kepada sekolah, orang gaji atau pengasuh kerana peranan mereka sangat besar dalam perkembangan permata hati. 

    Bukan saja dari segi akademik, jiwa anak juga perlu diisi dengan didikan agama agar mereka dapat membezakan antara perbuatan baik dan buruk sekali gus mampu melahirkan generasi prihatin, berkeyakinan tinggi, cintakan Allah serta Rasul.

    Memahami kepentingan didikan dunia dan akhirat yang seimbang dalam diri kanak-kanak, Zurriyat Ventures Sdn Bhd menganjurkan Malaysia Islamic Children’s Fair (MICF) 2017. Menurut Pengerusi Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia (MICF) Dayang Lily Maznah Abang Muas, kasih sayang dan rasa syukur adalah dua nilai yang sangat penting untuk disemai dalam diri anak.

    “Melalui projek kemasyarakatan dan aktiviti sepanjang program ini berlangsung, sedikit sebanyak ia boleh mendidik kanak-kanak dengan semangat melakukan kebaikan serta belas kasihan kepada rakan lain yang kurang bernasib baik selain mencungkil bakat terpendam. 

    Ia juga mendidik jiwa kanak-kanak untuk lebih bersyukur dengan kehidupan yang dilalui. Sifat belas kasihan boleh dipupuk dengan mengajar anak untuk bersatu dan saling menyokong melalui perpaduan,” katanya ketika berucap merasmikan acara kali kelima itu, baru-baru ini.

    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Amaxmall.com Datin Dr Nik Sarina Lugman Hashim dan Setiausaha Persatuan Kebajikan AnNajah Selangor (PKAS) Yazman Mat Raschid. MICF adalah acara tahunan yang mula diadakan sejak 2013.

    Acara ini menempatkan pempamer yang terbabit dalam industri pendidikan dan perkembangan kanak-kanak serta keluarga Muslim dan berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung sejak tahun pertama dianjurkan.

    Sebagai pameran kanak-kanak Islam yang terbesar di Malaysia, ia menarik ramai pengunjung khususnya ibu bapa, pendidik dan kanak-kanak terutama dalam kalangan individu yang mementingkan nilai Islam dalam kehidupan mereka.

    Sempena ulang tahun MICF Ke-5 yang berlangsung pada 26 hingga 31 Julai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, beberapa pembaharuan diperkenalkan.

    Antaranya, tempoh pameran berlangsung iaitu selama lima hari (sebelum ini tiga hari), serentak dengan Pesta Buku Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) 2017 dan ruang pameran yang lebih fokus kepada pembelajaran melalui pengalaman.

    Didik, asah bakat

    Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk Pertandingan Bercerita Kisah Dari Al-Quran (Sekolah Rendah), Cabaran Arkitek Muda (Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah), Young Muslim Talent (Sekolah Rendah), Pencarian Muazzin Muda (Tadika dan Sekolah Rendah) serta Pencarian Solehah Cilik (Sekolah Rendah).

    Setiap satu pertandingan mempunyai matlamat tersendiri. Misalnya, pertandingan Young Muslim Talent bertujuan mendedahkan kanak-kanak dengan kepelbagaian bakat yang ada termasuk dari negara luar dan dalam kalangan kelainan upaya.

    Bakat yang dipersembahkan perlu selari dengan nilai Islam seperti memupuk kasih sayang khususnya kepada Allah dan Rasul, mengajak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta membangkitkan semangat kesatuan dalam kalangan umat Islam.

    Antara objektif pertandingan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai hiburan Islam yang sebenar, mencungkil dan mengasah bakat dalam kalangan pelajar serta membina keyakinan mereka ketika di atas pentas.

    Selain itu, kemahiran berfikir secara kreatif adalah salah satu kemahiran abad ke-21 yang penting untuk dikuasai pelajar masa kini bagi mencapai aspirasi negara ke arah menjadi negara maju serta mampu bersaing di peringkat global.

    Menyedari kepentingan kemahiran ini, setiap pelajar perlu diberi peluang mengaplikasikan pembelajaran dalam bilik darjah (teori) kepada penghasilan sesuatu yang baru (praktikal) - sejajar dengan tujuan penganjuran Cabaran Arkitek Muda.

    Bukan itu saja, ramai bersetuju pelajar sekolah tanpa mengira peringkat adalah aset penting dalam masyarakat bagi menentukan masa depan negara yang maju dan berjaya. Oleh itu, mereka perlu didedahkan dengan pelbagai pengalaman semasa di bangku sekolah lagi agar dapat menggilap bakat sedia ada.

    Kebolehan bercakap di khalayak umum adalah satu bakat yang penting bagi menyediakan pelajar berkeyakinan tinggi dan berkepemimpinan. Salah satu cara membentuk bakat ini adalah melalui aktiviti bercerita.

    Oleh itu, pertandingan bercerita berkisarkan kisah daripada al-Quran adalah inisiatif untuk memupuk bakat berkenaan di samping mengambil pengajaran sebagai pengisian cerita. Selain mendidik akal dan mengasah bakat pelajar sekolah lebih berdaya saing, matlamat membentuk insan Muslim berkeyakinan tinggi, cintakan Allah dan Rasul tidak boleh dipandang remeh.

    Melalui Pencarian Muazzin Muda dan Solehah Cilik, ia diharapkan mampu menjadikan laungan azan sebagai satu seni yang perlu dikekalkan dalam kalangan umat Islam sejak kecil selain mencungkil bakat hafazan al-Quran khususnya Muslimah berusia tujuh hingga 12 tahun.

    Tahun ini, Pencarian Solehah Cilik membuka penyertaan kepada peserta dari luar negara seperti Singapura dan Indonesia untuk turut serta.

    Pupuk sifat prihatin

    Al-Quran diturunkan sebagai panduan untuk umat Islam dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim. Namun bagaimana ia boleh menjadi panduan jika tidak dibaca dan dipelajari?

    Bermula daripada World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Children #QuranHour juga adalah acara susulan yang memberi fokus kepada pembabitan kanak-kanak dalam mendalami al-Quran.

    Tahun ini, MICF sekali lagi meneruskan acara berkenaan buat kali kedua pada 30 Julai lalu dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang disertai lebih 200 kanak-kanak bersama-sama membaca al-Quran dalam tempoh satu jam bermula jam 11 pagi.

    Kanak-kanak juga perlu didedahkan dengan sifat prihatin dan bersyukur dengan apa yang mereka ada dalam kehidupan seharian. Melalui aktiviti kemasyarakatan, kita boleh menanam sifat prihatin dan kasih sayang kepada insan lain terutamanya kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

    Buat kali pertama, MICF 2017 mengadakan projek #Teddy4Hugs yang memerlukan kanak-kanak perlu membawa mainan berbentuk anak patung lembut (plush toys) sama ada yang baru atau terpakai untuk diagihkan kepada kanak-kanak di kem pelarian Syria di Calais, Perancis.

    Projek ini mendapat sokongan daripada pusat beli-belah dalam talian, amaxMALL dan kartun popular Didi & Friends yang turut menyumbang barangan mainan untuk dihantar kepada kanak-kanak pelarian Syria.

    Projek ini diusahakan bersama Persatuan Kebajikan AnNajah Selangor yang berganding bahu dengan sekumpulan sukarelawan, Kitchen In Calais, yang akan mengagihkan sebahagian sumbangan ke Idlib, Syria. Selain kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga juga perlu mengambil berat aspek keselamatan apabila membawa anak ke mana-mana.

    Menyedari kepentingan ilmu pertolongan cemas, pihak MICF bekerjasama dengan Fakulti Sains Perubatan Kolej Universiti Cyberjaya untuk mengadakan bengkel ‘Daily Medical Assistant Responder’ yang akan membabitkan ibu bapa dan penjaga apabila berhadapan dengan keadaan yang tidak diingini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Didik Rasa Bersyukur Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top