“Bawa balik seorang bos.” Demikian seloroh rakan sebaik penulis memberitahu akan ke Lombok, baru-baru ini dan faham benar apa dimaksudkannya.
Dalam penerbangan selama tiga jam dengan pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok (LIA) pada 11 September lalu, sesekali gurauannya menjengah minda dan jelas, seorang yang dimaksudkannya itu adalah gadis atau wanita Lombok.
Mungkin dia mahu saya ‘melarikan’ gadis Lombok ke Malaysia bagi membalas semula kejadian beberapa gadis Melayu dilarikan ke pulau berkenaan, sebelum ini dan sudah pasti, ia tidak akan berlaku.
Trip ke Lombok bersama empat rakan media lain serta wakil agensi pelancongan selama empat hari tiga malam itu dianjurkan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Pulau Pinang dan diketuai Pelaksana Fungsi Ekonomi KJRI di Pulau Pinang Agus Priono bertujuan mempromosikan tempat pelancongan di Lombok dan pulau sekitarnya.
Pada masa sama, wakil agensi pelancongan dari utara tanah air itu boleh bertukar pandangan serta menyusun pakej bersesuaian dengan agensi di Lombok untuk menarik pelancong ke pulau berkenaan. Sedikit maklumat mengenai Lombok, perkataan Lombok dalam bahasa Indonesia bermaksud cili atau cabai dan ia terletak di bahagian Nusa Tenggara Barat.
Digelar pulau 1,000 masjid kerana ada banyak masjid dan 85 peratus penduduknya beragama Islam. Populasinya lebih empat juta orang dan memiliki keindahan alam semula jadi pelbagai iaitu kawasan pergunungan seperti Gunung Rinjani (3,726 meter) hingga ke lautan dan ada kira-kira 20 pulau di sekitarnya dengan yang popular adalah Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air.
Jarak dari utara ke selatan Lombok adalah 112 kilometer (km) dan barat ke timur sejauh 90km, menyaksikan pusingan seluruh pulau itu boleh dihabiskan dalam masa satu hari.
Pada 2015, Lombok memenangi Anugerah Destinasi Halal Terbaik Dunia menyebabkan semakin ramai pelancong Asia Barat dan negara Islam datang, sekali gus menyaksikan pemasaran semakin agresif kepada pelancong Muslim termasuk dari Malaysia.
Kami tiba di Lombok pada hari pertama agak lewat dan terus makan malam di Restoran Green Asri sebelum menginap di Hotel Lombok Raya. Pada hari kedua, barulah penjelajahan bermula dengan sesi berkenalan bersama alam dan kami melalui kawasan berbukit di Pusuk menuju ke Lombok Elephant Park yang terletak di Sigar Penjalin, Tanjung, Lombok Utara.
Presiden dan Pengarah Lombok Elephant Park Ketut Suadika berkata, ia tarikan terbaru di Lombok yang mula dibuka pada hujung April sebelum dirasmikan pada Ogos lalu.
Beliau berkata, tarikan utama adalah empat gajah Sumatera iaitu dua gajah jantan dikenali Bayu berusia 17 tahun dan Rambo (30 tahun) manakala dua gajah betina dikenali Cindy (38 tahun) serta Melati (34 tahun) dan dalam perancangan, pihaknya akan memiliki 11 gajah pada masa depan.
Katanya, ketika ini ada 169 haiwan daripada 36 spesies di kawasan seluas 3.6 hektar itu dengan tarikan lain adalah dua Orang Utan dikenali Valent berusia 11 tahun dan Tessy berusia 38 tahun yang kedua-duanya dari Kalimantan.
“Ini adalah yang pertama dan tunggal di Lombok pada kedudukan kira-kira 2.5 kilometer dari jalan utama. Ia bukan zoo, tetapi konsep terbuka yang lebih kepada santuari, pusat konservasi dan pendidikan mengenai gajah.
“Sasaran kami untuk mengumpul 10 haiwan eksotik Indonesia di sini antaranya gajah Sumatera, orang utan, monyet Belanda, beruang matahari, burung jalak Bali, siamang dan cenderawasih manakala komodo akan dibawa masuk pada Januari depan.
“Fokus kami lebih kepada gajah kerana di Sumatera kerap berlaku hutan terbakar, jadi kami mahu selamatkan gajah dan memindahkannya ke sini,” katanya.
Ketut berkata, gajah itu dibawa dari Sumatera dan seekor gajah makan 300kg makanan sehari membabitkan jagung, padi, rumput dan pelepah kelapa, jadi empat gajah bermakna 1.2 tan makanan perlu disediakan dalam sehari.
Beliau berkata, 13 pekerja ditugaskan untuk menjaga gajah berkenaan iaitu lapan pawang dan lima pencari makanan dan mereka sangat faham serta arif mengenai gajah yang perlu berjalan sekurang-kurangnya 10km sehari untuk kekal sihat.
Katanya, pelbagai pakej disediakan seperti berkenalan dengan gajah, naik gajah, memberi makan gajah, memandikan gajah serta bergambar dengan burung dan bayaran masuk adalah Rp200,000 (RM65) untuk dewasa dan Rp150,000 (RM49) untuk kanak-kanak manakala bawah dua tahun percuma.
“Saya memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang konservasi haiwan terutama gajah termasuk berkhidmat di Bali, Sulawesi dan Jawa Timur. Satu keluarga saya sukakan haiwan dan ini sebahagian daripada hobi, malah anak dan isteri turut bekerja di sini.
“Dari LIA hanya dua jam untuk sampai ke sini dan berhampiran tiga jeti pintu masuk selepas lebih sejam perjalanan dari Bali dengan bot laju iaitu Teluk Kadek, Teluk Nara dan Teluk Bangsal. Selepas empat bulan dibuka, lebih 7,000 pelawat direkodkan terutama dari Australia, Jerman, Asia Barat serta Malaysia.
Tumpuan saya, mahu menarik pelancong asing mengunjungi Lombok kerana kebanyakan mereka mengunjungi Gili Air, Gili Trawangan dan Gili Meno yang hanya 30 minit perjalanan dari sini,” katanya.
Selepas melihat gajah dan haiwan lain, kami beralih pula ke kawasan pantai dan mengunjungi Pantai Medana iaitu lokasi berlangsung persembahan kebudayaan dan permainan tradisional termasuk gasing pangkah.
Daripada alam menghijau dan haiwan, kami kemudian bergelumang dengan lautan, ombak, pasir dan pantai apabila menaiki bot laju ke Pulau Gili Air, yang mengambil masa 10 minit dari Teluk Nara di Lombok. Tiada kenderaan berenjin di pulau itu, yang ada hanya kereta kuda dikenali sebagai cidomo serta basikal untuk disewa.
Kami menginap di Hotel Ombak Paradise dan antara aktiviti adalah melihat matahari terbenam di atas kerusi khas tersusun rapi di tepi pantai atau merakam gambar berlatar belakang buaian besar. Walaupun kelihatan ramai pelancong asing, pulau itu sunyi dan tidak banyak aktiviti boleh dilakukan terutama pada waktu malam.
Keesokannya, kami menuju ke pulau lebih meriah dan sibuk dengan pelancong asing iaitu Gili Trawangan dengan menaiki ‘glass bottom boat’. Dalam perjalanan, boleh melihat terumbu karang dan hidupan laut menerusi kaca di bahagian bawah bot itu, tetapi cabaran besar menanti apabila ombak kuat di tengah laut.
Jelas, suasana di Gili Trawangan lebih sibuk dengan cidomo bergerak ke sana ke mari mengangkut orang dan barang, selain ramai pelancong berbasikal. Kami makan tengah hari di Hotel Vila Ombak dan berehat seketika di hotel berkenaan sementara menunggu untuk pulang semula ke Lombok dan selain kesibukan di laluan utama, dapat dilihat puluhan Mat Salih berjemur di tepi kolam renang di hotel berkenaan.
Kemudian kami mengikut jadual untuk kembali semula ke Lombok. Bagaimanapun, sedikit masalah timbul apabila bot laju tidak dapat sampai ke jeti kerana air surut menyebabkan kami perlu melakukan transit di tengah laut.
Kami menaiki bot kecil terlebih dulu ke tengah laut sebelum berpindah ke bot laju dan jelas, ia pengalaman mendebarkan kerana ketika itu ombak kuat dan tinggi. Apabila sampai di Lombok, kami kemudian melalui laluan di tepi pantai di Senggigi - pemandangan lebih kurang sama dengan Batu Feringgi - menuju ke tempat penginapan di Holiday Resort.
Selepas itu, kami melawat Pusat Islam di Kota Mataram dan menunaikan solat Maghrib di Masjid Hubbul Wathan yang boleh memuatkan 2,000 jemaah pada satu masa. Malah, pengunjung boleh naik ke menara untuk melihat pemandangan Kota Mataram.
Pada malamnya, berlangsung acara perasmian dan dialog sesama wakil agensi pelancongan. Yang menariknya, pemandu pelancong kami, Uji Gaffar, 49, bukan sekadar menjadi pengacara majlis, malah turut menyanyikan beberapa lagu sesuai dengan pengalamannya bermain bongo bersama kumpulan basker.
Jelas, perjalanan waktu bagi tempoh empat hari tiga malam itu amat cepat. Keesokannya, tiba waktu kami berangkat pulang dan dalam perjalanan ke LIA, kami singgah di sebuah desa untuk melihat industri kain tenun yang menjadi antara ole-ole utama di Lombok.
Namun, ia hanya mampu disiapkan sekitar 15 sentimeter sehari, sekali gus menjadikan ia unik dan mahal. Berdasarkan perbualan dengan wakil agensi pelancongan di Lombok, kunjungan kami selama empat hari tiga malam itu hanya meliputi 40 peratus daripada destinasi tarikan di situ.
Banyak lagi belum dijelajahi seperti pantai antaranya Pantai Kuta dan Pantai Pink atau air terjun popular di kaki Gunung Rinjani. Apapun, jika ada jodoh, sudah pasti kita akan bertemu lagi.
0 comments:
Post a Comment