Pemain Liverpool, Rhian Brewster meledak hatrik kedua dalam dua perlawanan untuk menyingkirkan pasukan pilihan, Brazil daripada Piala Dunia bawah 17 tahun dan membawa England ke final buat kali pertama, sebentar tadi.
Brewster yang menjaringkan tiga gol ketika England menewaskan Amerika Syarikat 4-1 di peringkat suku akhir, meledak kesemua gol untuk membantu The Three Lions menundukkan gergasi Amerika Selatan itu 3-1.
England akan menentang pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Sepanyol dan Mali pada final, Sabtu ini.
“Kami akan bekerja keras dan berharap untuk menang,” kata Brewster selepas perlawanan. Brewster beraksi cemerlang bersama gandingan pemain tengah Manchester City, Phil Foden yang membuat hantaran tepat untuk pasukannya meraih kemenangan. Brewster meletakkan England mendahului pada minit ke-10 walaupun pemain Brazil terlebih dahulu melakukan serangan.
Penyerang Brazil, Wesley menyamakan kedudukan pada minit ke-21 untuk mencetuskan permainan lebih mendebarkan. Bagaimanapun, Brewster sekali lagi meletakkan England di depan pada minit ke-39 sekali gus mengungguli carta penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.
Jaringan ketujuhnya dalam kejohanan yang kali pertama dianjurkan di India hadir pada babak kedua untuk menutup peluang Brazil yang juga juara tiga kali.
0 comments:
Post a Comment