Mula diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan sejak 2008, Nissan Teana menawarkan keselesaan optimum dan gaya lebih sporty sebagai sebuah kereta sedan dalam segmen D. Generasi ketiga serba baru yang berada dalam pasaran kini dilancarkan pada 2014 dengan ciri rekaan lebih menarik dan pelbagai bahagian diperkemaskan untuk lebih premium.
Untuk memberi sentuhan lebih sporty, pada penghujung 2016 Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd sebagai pengedar utama jenama Nissan di negara ini melancarkan versi Nismo yang disempurnakan oleh dua pemandu pasukan Nismo dalam perlumbaan GT Jepun iaitu Tsugio Matsuda dan Ronnie Quintarelli.
Ia menawarkan kit akesesori luaran dengan gaya DNA pasukan perlumbaan Nissan yang menjadikan kenderaan ini kelihatan lebih ‘muda’. Antara ciri Nismo yang ditawarkan ialah spoiler bampar hadapan, skirt sisi, Trunk Lid Spoiler, rim aloi 18 inci LMX6, spring sport, ekzos berkembar dan tayar Michelin Sport untuk pemanduan lebih berprestasi.
Untuk Malaysia, tiga varian ditawarkan dan penulis berpeluang memandu uji daripada spesifikasi tertinggi iaitu Teana Nismo 2.5 XV selain yang ada dalam pasaran terdiri daripada 2.0 XE dan 2.0 XL.
Meskipun tiada talaan daripada sudut enjin 2,488cc untuk Pakej Pretasi Nismo kepuasan pemanduan dapat dirasakan hasil daripada suspensi hadapan MacPhersonStrut dan Multi-link untuk belakang dengan gabungan spring Nismo direndahkan sebanyak 30 milimeter (mm) menjadikan ia lebih stabil untuk jalan lurus atau selekoh.
Pada kelajuan tinggi, ia bukan sahaja selesa malah kuasa enjin empat silinder DOHC dengan teknologi Kawalan Pemasaan Injap-Bolehubah Berterusan (CVTC) bagi mengawal pembakaran enjin lebih efisien.
Bagi kelancaran CVT Xtronic dengan 6 kelajuan automatik menawarkan penjimatan bahan api dan prestasi lebih baik pada enjin yang mampu menghasilkan kuasa kuda 173PS pada 6,000rpm dan tork 234Nm pada 4,000rpm.
Tidak lengkap jika hanya luaran yang menarik dan bagi rekaan dalaman, Teana juga menyerlah dengan ciri premium termasuk tempat duduk kulit warna hitam dengan inspirasi graviti sifar dan 10 larasan elektronik untuk pemandu dan penumpang hadapan.
Untuk sistem audio sembilan pembesar suara disediakan yang dilengkapi subwoofer dan amplifier daripada jenama Bose untuk muzik berkualiti sepanjang perjalanan. Tambah menarik unit multimedia paparan berkualiti tinggi lima inci dengan kamera undur serta Paparan Bantu Pemandu Termaju (ADAD) bersaiz empat inci bagi maklumat pemanduan dan kenderaan begitu mudah dilihat.
Ruang kaki untuk penumpang belakang juga selesa termasuk corong pendingin hawa serta langsir automatik pada cermin belakang untuk melindungi daripada cuaca panas serta bumbung suria antara elemen mewah ditawarkan.
Roda stereng kuasa hidraulik-elektro dengan kuasa elektrik memberi kesan terhadap penjimatan petrol juga ada pelbagai ciri seperti kawalan audio dan pelayaran untuk memberi kawalan lebih lancar.
Secara keseluruhannya, Nissan Teana ini antara model terbaik dalam segmen D yang ada dalam pasaran selain Honda Accord, Toyota Camry, Kia Optima dan Hyundai Sonata. Ia pernah dianugerahkan Best Overall Car dalam acara ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2016 dengan penarafan lima bintang untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP).
Ciri pemanduan dan rekaan lebih menarik dengan gril signature, lampu hadapan Xenon dengan HID, lampu kabus, cermin sisi dengan lampu LED, elemen krom pada beberapa bahagian menjadikan ia lebih elegan. Ruang but seluas 516 liter boleh memuatkan pelbagai beg dan barangan keperluan terutama sekali jika perjalanan jauh bersama keluarga atau untuk tujuan urusan rasmi.
Sistem keselamatan terbaik ditawarkan seperti enam beg udara, kawalan pembelokan, Bantu Mula Bukit (HAS) Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa-Brek Elektronik (EBD) dan Bantu Brek (BA).
Kini dengan elemen ciri sporty Nismo menjadikan Teana didatangkan dengan pakej yang menarik bagi sebuah sedan yang direka untuk golongan eksekutif, pengurusan atau ‘tauke’ yang berjaya.
Lima warna boleh dipilih iaitu Biru Storm, Perak Tungsten, Hitam Diamond, Emas Bronze serta Putih Brilliant dan untuk Nismo dua pakej ditawarkan iaitu Aero dan Prestasi dengan tambahan sebanyak RM6,201 atau RM16,960 ke atas harga jualan kenderaan.
Nissan Teana bermula daripada RM137,000 (2.0L XE CVT), RM147,500 (2.0L XL CVT) dan RM167,500 (2.5L XV CVT) dengan tujuh tahun waranti dan tiga tahun untuk kit nismo atau 100,000km yang mana lebih dahulu.
0 comments:
Post a Comment