Selepas berjaya ‘menyihir’ penonton menerusi filem Thor pada 2011 dan Thor: The Dark World (2013), kini watak adiwira ikonik yang dilakonkan pelakon kelahiran Melbourne, Australia, Chris Hemsworth itu kembali dengan Thor: Ragnarok yang mula menemui penonton di negara ini mulai semalam.
Walaupun disuntik elemen jenaka, keunggulan yang dimiliki menjadikan watak dewa petir kelahiran Asgard ini tampak sempurna dengan personaliti sebegitu. Hampir keseluruhan landskap naskhah ini berubah menjadi lebih santai selain sarat dengan babak lucu terutama membabitkan watak Thor.
Konsep baru ini adalah antara perubahan yang dilakukan pengarah, Taika Waititi yang menjadikan filem itu tampak lebih menarik dan berbeza. Memiliki pengalaman sebagai pelawak dan mahir dalam mengarahkan karya komedi, Waitti menggunakan kelebihan itu untuk menambah warna dan resipi menarik untuk penonton menikmati pengalaman berbeza secara santai.
Lebih menarik, siri baru filem ini menyaksikan adegan pertempuran dan kemunculan watak lain seperti Hulk, Doctor Strange dan Valkyrie serta kebangkitan Hela. Selain itu, imej Thor sendiri turut berubah apabila rambutnya kini dipotong pendek.
Sejak awal tayangan, penonton disogokkan dengan aksi hebat Thor menentang dewa kematian yang sudah lama menyimpan impian memusnahkan kota Asgard. Sekembalinya Thor ke kota berkenaan, dia menemui adiknya Loki yang disangkakan sudah mati.
Bagaimanapun, kehilangan bapanya Odin yang dihantar ke bumi membangkitkan kemarahan Thor terhadap saudaranya itu. Pertemuan mereka dengan Odin di sebuah kawasan terpencil merungkai kisah kewujudan dewa kematian bernama Hela yang pernah dikurung kerana ketamakannya.
Pembebasan Hela menyaksikan si jahat ingin menuntut bela dan mahu menguasai takhta Asgard selepas kematian Odin. Menyedari niat Hela, Thor dan Loki cuba menghalangnya daripada memasuki kota. Namun, kedua-duanya terperangkap di planet Sakaar, manakala tukul Mjolnir milik Thor musnah dihapuskan Hela.
Bagaimanapun, di planet itu Thor ditemukan dengan teman seperjuangannya dalam Avengers, Hulk sekali gus membolehkan kedua-duanya berganding untuk menghapuskan Hela. Barangkali suntikan komedi yang menghiasi filem ini menjadi perencah kuat untuk penonton terus melekat dan setia menyaksikan filem itu.
Hemsworth dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, filem terbabit disuntik dengan perubahan demi perubahan supaya kelihatan berbeza berbanding sekuel terdahulu. “Selepas berbincang dengan pihak penerbit, Kevin Feige kami akhirnya mendapat kata sepakat untuk menjadikan karya baru ini berbeza berbanding terdahulu.
“Elemen komedi adalah kelainan yang cuba diketengahkan dan saya sendiri gembira sepanjang menjalani penggambaran kerana kurang tekanan,” katanya.
Menurutnya, dia begitu teruja sepanjang menjalani penggambaran dengan Waititi yang mempunyai idea luar biasa terhadap filem itu. “Kami mempunyai visi dan idea untuk mengubah perjalanan cerita itu supaya kelihatan berbeza. Masing-masing mencurahkan idea yang saya kira ‘gila’ dan mempunyai inspirasi untuk pastikan filem ini diterima seluruh dunia.
“Saya sangat menyanjungi Waititi kerana idea yang dimiliki begitu hebat dan dia berani mengambil risiko. Ia satu pengalaman yang mahal dan seronok. Filem ini adalah antara naskhah yang saya boleh banggakan kerana kru produksi filem ini yang mantap dan bersatu hati untuk menjayakannya,” katanya.
Bagi pengarah kelahiran New Zealand itu, dia tidak menafikan Thor Ragnarok tampak berbeza berbanding karya atau komik asal. Namun, hasil garapan kemas terutama membabitkan babak aksi pertarungan antara Thor dan Hulk menjadikan filem terbabit dinantikan peminat tahun ini.
0 comments:
Post a Comment