Tidak sampai dua minggu diterbitkan untuk pasaran Malaysia, Singapura dan Filipina, permainan mudah alih kendalian Garena, Arena of Valor (AOV) yang dibangunkan oleh Tencent Games kini mencecah 500,000 muat turun di Playstore dan Appstore.
Berada dalam kelompok Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) khusus untuk peranti pintar, AOV kini antara ‘game’ paling hangat di pasaran dan penulis sudah mencuba permainan ini untuk pertama kalinya.
Tapi bagi sesiapa yang belum tahu, AOV mempunyai mekanisme hampir sama dengan Mobile Legends dan pasti andaterfikir apa yang lebih menarik mengenai permainan baru ini? Ikuti reviu daripada penulis.
1. Hero percuma, mudah dimainkan
Antara tarikan utama AOV ialah hero percuma yang boleh didapatkan sejurus menyiapkan tugasan diberikan secara berperingkat. Sebagai contoh, kamu boleh mendapatkan Butterfly selepas memenangi 10 perlawanan kasual bersama rakan.
Lebih menarik, tugasan ini juga menawarkan kosmetik (skin) percuma untuk mengubah penampilan karakter kamu. Kosmetik bagi Alice, misalnya, boleh dimiliki selepas 50 kemenangan dalam mod Ranked. Selain hero percuma, AOV turut memahami keperluan pemain baru yang ingin menyesuaikan diri dengan permainan berpaksikan genre sebegini.
Terdapat lebih 30 hero yang terdiri daripada tahap kemahiran berbeza. Veera, Valhein dan Taara antara hero mudah dimainkan kerana tahap kuasa mereka yang mudah difahami dan tidak terlalu sukar untuk pelajari. Jika anda pemain baru, pastikan mencuba hero yang mempunyai tahap kemahiran paling rendah.
2. Grafik cantik, runut bunyi luar biasa
Selain memaparkan barisan karakter yang antaranya mempunyai set kuasa asli, AOV turut dikenali dengan grafiknya yang sangat mencuri perhatian. Setiap objek dan kosmetik karakter wajar diberi pujian kerana hasil kerjanya sangat teliti.
AOV juga mempesona jika dinilai daripada hasil kerja Hanz Zimmer yang merangkul pelbagai anugerah gemilang bagi penghasilan runut bunyi bagi filem epik sebelum ini. Penulis kagum dengan sentuhannya dalam permainan mudah alih ini.
3. Mod yang pelbagai
AOV menawarkan 6 mod berbeza kepada pemain. Ia kelihatan seperti permainan yang sudah siap kerana tidak perlu menunggu beberapa lama untuk menambah mod baru. Mod biasa seperti Grand Battle sesuai untuk semua manakala Abyssal Clash untuk mereka yang dahagakan konsep perlawanan ‘mid wars’.
Bagi yang ingin cuba kemahiran bermain hero dengan baik, Solo Battle sesuai untuk kamu. Hook Wars pula sangat seronok dimainkan untuk mengisi masa lapang tanpa perlu menjadi terlalu serius ketika perlawanan. Mod Ranked pula sangat sesuai dimainkan bagi yang dahagakan cabaran.
Dari aras bawah, kamu bermula di tahap gangsa dan kemudian mendaki tangga kompetitif sehingga tahap Master. Mod ini lebih mencabar kerana ia dinilai mengikut jumlah bintang dan kekalahan menyebabkan kehilangan bintang.
0 comments:
Post a Comment