Industri pertanian di negara kita kini kian selari dengan arus teknologi dari semasa ke semasa. Wujudnya inovasi di dalam industri pertanian mampu memacu ke arah kehidupan yang lestari. Teknologi fertigasi gantung adalah satu revolusi dalam perusahaan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memastikan kitaran tanaman sentiasa berkualiti serta konsisten.
Kini, dengan teknologi yang dikembangkan Jabatan Pertanian (DOA) mampu mengoptimumkan penggunaan tanah untuk industri berkenaan.
Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur), Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Raub, Pahang Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, dulu sistem tanaman di atas tanah berbatas hanya terhad kepada kawasan dan topografi yang sesuai.
“Kelebihan teknologi ini juga dapat meningkatkan pendapatan yang baik disebabkan peningkatan hasil melalui penggunaan baja secara efisien, konsisten dan jangka hayat ekonomik tanaman lebih lama.
“Risiko serangan penyakit daripada ‘soil borne’ dapat dikurangkan kerana antara kelebihan utama sistem ini ialah kedudukan tanaman tidak berada di atas tanah dan sistem pengudaraan yang lancar,” katanya yang ditemui di PPD Raub, Pahang, baru-baru ini.
Mohd Ali Hanafiah berkata, konsep asas yang membezakan teknologi ini dengan kaedah lain ialah pokok ditanam dalam beg semaian bermedia secara tergantung berasaskan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong.
“Antara tanaman sayur berbuah yang sesuai ialah timun, kacang panjang, petola, terung panjang, cili dan juga sayuran berdaun sebagai kitaran tanaman.
“Kelebihan mengamalkan teknik fertigasi gantung adalah dapat mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut kawalan rumpai, kawalan serangga perosak, penyakit serta kerja memungut hasil. “Secara keseluruhan kos tenaga kerja dan racun kimia dapat dikurangkan hingga 50 peratus berbanding penanaman secara fertigasi biasa,” katanya.
Menurutnya, hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding biasa dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan tujuh hingga 10 hari berbanding penanaman secara konvensional. “Hasil dapat dipungut dengan mudah, cepat kerana kedudukan beg semaian lebih tinggi dan jangka hayat tanaman lebih lama.
“Sistem ini dapat memberi pulangan maksimum kepada petani apabila jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus,” katanya.
Menerangkan kaedah penggunaan teknologi ini, Mohd Ali berkata, sistem para dipasang dengan kukuh untuk menggantung beg semaian dan sistem pengairan menggunakan PE tubing.
“Setiap beg semaian yang diisi media tanaman akan digantung menggunakan kawat duri dan semai benih tanaman di dalam dulang semaian dengan media peat moss. “Anak benih akan tumbuh dan menjalar pada dawai trellis yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, baja larutan fertigasi (baja fertigasi set A+B) dipam masuk melalui PE tubing yang dipasang bersambungan antara beg semaian dan mempunyai ‘nipper’ pada setiap pokok.
“Kekerapan pembekalan air baja fertigasi mengikut kadar yang disyorkan dan bergantung kepada cuaca semasa. Kebiasaannya pembajaan dibuat tiga hingga enam kali sehari dan diulangi dengan air selepas dua hingga tiga jam pembajaan dibuat. Penggunaan baja organik seperti asid amino dan plant booster mampu meningkatkan kualiti tanaman dan pulangan hasil,” katanya.
Mohd Ali Hanafiah berkata, tunas yang baru keluar perlu dididik untuk menjalar di atas para dawai yang disediakan. Penuaian mudah dijalankan kerana hasil dapat dilihat dengan mudah dan senang untuk mengutip . “Potensi bagi satu beg semaian untuk tanaman timun boleh mencecah tujuh hingga 10 kilogram (kg) semusim,” katanya.
0 comments:
Post a Comment