Ini termasuk pihak pentadbiran sekolah berkenaan bertujuan mengumpulkan maklumat, yang diharapkan dapat membantu mengenal pasti punca kegagalan sekolah baharu itu disiapkan mengikut tempoh ditetapkan Kementerian Pendidikan.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, kontraktor sudah diberikan dua tarikh akhir bagi menyiapkan kerja-kerja pembinaan sekolah baharu itu, namun projek itu, dengan kerja pembinaan cuma berbaki kira-kira 10 peratus, masih gagal disiapkan.
"Siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kelewatan berkenaan, termasuk sekiranya wujud asas penyelewengan atau pecah amanah dalam pelaksanaan projek berkenaan," katanya. Difahamkan, pembinaan terpaksa dihentikan berikutan masalah pembayaran antara kontraktor utama dan subkontraktor.
Beliau berkata, pembangunan SK Pulau Seduku menggunakan teknologi sistem binaan industri (IBS) yang sepatutnya tidak mengambil masa lama untuk disiapkan, selain menjimatkan kos pembinaan.
"Namun, kita dimaklumkan ada isu pembayaran antara kontraktor utama dan subkontraktor sehingga menyebabkan projek ini, yang dimulakan pada 2016, tertangguh sebanyak dua kali. Ini akan diperhalusi dan disiasat," katanya.
Isu kelewatan projek SK Pulau Seduku, yang diluluskan Kementerian Pendidikan pada 2015 membabitkan peruntukan keseluruhan RM8.2 juta, mendapat perhatian sejak awal minggu ini.
Ia berikutan rakaman visual memaparkan muridnya terpaksa 'bersabung nyawa' meredah ribut dan ombak besar Sungai Batang Lupar untuk kembali ke sekolah asal mereka dari Jeti Pekan Lingga, yang menjadi tular di laman sosial, Ahad lalu.
Malah, keadaan itu adalah rutin murid berkenaan selepas menghabiskan cuti hujung minggu bersama-sama ibu bapa masing-masing yang tinggal di penempatan baharu di Pekan Lingga. Tidak hanya ombak besar dan arus deras, mereka turut berdepan ancaman buaya sepanjang 30 hingga 40 minit menaiki perahu untuk berulang alik di antara sekolah dan Pekan Lingga pada setiap hujung minggu.
Tinjauan di tapak sekolah baharu itu baru-baru ini mendapati baki projek hanya membabitkan proses perincian, selain sistem pendawaian, pemasangan jubin, tandas, bumbung dan beberapa infrastruktur asas berkaitan, termasuk padang.
SK Pulau Seduku mempunyai 12 guru dan 26 murid Tahun hingga Tahun 6 dan mereka satu-satunya penduduk di pulau berkenaan selepas keseluruhan penduduk dipindahkan ke penempatan baharu di Pekan Lingga pada 2012 apabila kawasan itu digazetkan sebagai santuari buaya.
Kehadiran reptilia ganas itu dapat dilihat dengan jelas, malah ada ketikanya ia turut naik ke jeti sekolah dan kawasan padang untuk berjemur.
0 comments:
Post a Comment