My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 23 October 2017

    Beku Sel Lemak




    Pola hidup bermalas-malas (sedentari) yang tidak banyak bergerak dan kurang aktif melakukan aktiviti fizikal menyumbang kepada pembentukan lemak viseral di sekitar perut dan pinggang. Lemak viseral terletak jauh di bawah kulit dan ia adalah lemak yang disimpan di rongga perut mengelilingi organ seperti hati, pankreas dan usus. 

    Walaupun fungsinya memastikan ada jarak antara organ dalaman itu, lemak viseral yang berlebihan memburukkan kesihatan. Kajian menunjukkan bahawa lemak viseral berlebihan meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit seperti diabetes Jenis 2, penyakit jantung, darah tinggi, strok dan kanser.

    Perut yang kelihatan buncit dan ukuran pinggang yang besar melebihi 80 sentimeter bagi wanita dan melebihi 94 sentimeter bagi lelaki adalah tanda-tanda lemak viseral yang tinggi. Bagaimanapun, orang yang berbadan kurus juga boleh mengalami masalah lemak viseral berlebihan.

    Malangnya, lemak viseral yang terkumpul di sekitar perut dan pinggang sukar dihilangkan walaupun melakukan banyak senaman dan menjaga pemakanan, tetapi hasilnya terhad dan tidak seperti diharapkan kerana lemak ini kuat tertanam di rongga perut.

    Pakar Perubatan Estetik Premier Clinic, Dr Nigel Ong berkata, masalah sukar membuang lemak yang degil walaupun pelbagai usaha dilakukan secara tidak langsung memberikan tekanan kerana pada masa sama lebihan lemak turut mempengaruhi penampilan sehingga menjejaskan keyakinan diri. 

    “Kebanyakan kita menghadapi masalah membuang lemak biarpun melakukan pelbagai jenis senaman sama ada ringan atau berat termasuk mengawal pemakanan. Menyingkirkan lebihan lemak yang terkumpul dan menebal bukan saja di sekitar perut dan pinggang, malah bahagian lain seperti bawah lengan dan paha juga bukan sesuatu yang mudah.

    “Oleh itu, ramai yang memilih menjalani pembedahan pembuangan lemak, tetapi rawatan ini ada bahayanya, selain tidak sesuai bagi mereka yang menghidap masalah kesihatan tertentu.

    “Namun, kini sudah ada pendekatan mudah tanpa pembedahan yang berhasil menyingkirkan lemak degil daripada tubuh dengan teknologi Clatuu yang menggunakan kaedah beku lemak dinamakan cryolipolysis.

    “Teknik ini adalah alternatif selamat berbanding pembedahan bagi membentuk tubuh menerusi suhu sejuk untuk membekukan sel lemak yang degil tanpa menjejaskan tisu lain di sekelilingnya,” katanya.
    Dr Ong berkata, selepas sel lemak membeku proses pemecahan (apoptosis) akan memusnahkan sel lemak terbabit dan tubuh akan menyingkirkannya secara semula jadi menerusi proses metabolisme dalam tempoh antara enam hingga 12 minggu, seterusnya mengurangkan ketebalan lapisan lemak serta memberi kesan pengurangan ketara.

    “Kaedah ini hanya membekukan lemak berlebihan pada bahagian sasaran. Doktor akan mengalas bahagian tubuh berlemak yang disasarkan dengan panel penyejuk seperti kepingan gel sebelum menggunakan alat untuk membekukan lemak.

    “Ketika proses pembekuan, mereka yang menjalani rawatan ini boleh berbaring santai sambil membaca, menonton mahupun tidur sementara mesin estetik menjalankan tugasnya bagi tempoh 40 hingga 60 minit.

    “Rawatan ini juga tiada komplikasi yang serius, sebaliknya mungkin mendatangkan ketidakselesaan seperti bahagian yang disasarkan mengalami sedikit bengkak, lebam, kemerahan serta rasa pedih tetapi ia bersifat sementara kesan daripada proses pembekuan,” katanya.

    Bagaimanapun, Dr Ong menegaskan bahawa kaedah berkenaan bukan prosedur mengurangkan berat badan, sebaliknya menyingkirkan lemak berlebihan di kawasan yang disasarkan.

    “Ada perbezaan di antara mengurangkan berat badan dan mengurangkan jumlah lemak. Bilangan sel lemak dalam badan kita lazimnya tetap walaupun berat badan bertambah atau berkurang. Tetapi, saiznya saja yang berubah apabila ia membesar apabila kita menambah berat badan dan mengecil apabila kita mengurangkan berat badan.

    “Prosedur menyingkir lemak Clatuu mengu­rangkan sel lemak sehingga 25 peratus sebelum sel lemak yang mati itu dibuang secara semula jadi. Selain perut, mendapan lemak yang berada di sekitar lengan, pinggul, punggung dan paha boleh dirawat dengan berkesan dan selamat menggunakan teknologi ini.

    “Selepas rawatan, bagi mendapatkan hasil memuaskan mereka yang menjalani kaedah ini dinasihatkan menjalani gaya hidup sihat dengan bersenam dan menjaga pemakanan termasuk minum banyak air supaya anda mendapat bentuk badan yang diidamkan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Beku Sel Lemak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top