Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd. Yusof Apdal bebas daripada tahanan reman dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Majistret Cindy Mc Juse Balitus membebaskan Mohd. Yusof dengan jaminan sebanyak RM100,000 dan RM50,000 deposit bersama dua penjamin rakyat tempatan. Dia yang dibebaskan pukul 10.05 pagi itu turut diarahkan untuk melaporkan diri di SPRM sebulan sekali.
Mohd. Yusof direman bermula 18 Oktober lalu bagi membantu siasatan terhadap penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara tahun 2009 hingga 2015.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Faliq Basiruddin manakala Mohd. Yusof pula diwakili peguam Edward Paul dan Philip Lee.
Sementara itu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dijangka tiba pada pukul 11.30 pagi ini untuk menghadiri prosiding mahkamah bagi kes yang sama di bawah SPRM.
0 comments:
Post a Comment