Selain dikurniakan wajah manis dan bentuk muka sempurna, Bkay juga memiliki perwatakan menarik serta mahir dalam berkomunikasi. Gaya percakapannya lemah lembut dan ada kalanya kedengaran tegas. Namun, siapa sangka pemilik wajah yang sentiasa tersenyum manis ini dulunya memasang cita-cita menjadi pendidik.
Tidak hairanlah jika dia memiliki semua ciri di atas kerana Bkay sememangnya mempunyai karier cemerlang sebagai perunding imej bertauliah dan sudah melatih lebih 100,000 peserta daripada pelbagai sektor, termasuk awam dan korporat. Turuti nasihat bapa "Ketika di bangku sekolah, saya bercita-cita menjadi guru.
Namun, disebabkan kebanyakan keluarga kami ramai yang menjadi pendidik, ayah ingin melihat saya menjadi peguam. "Saya turuti nasihat dan kehendak ayah. Akhirnya, saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang dan bergelar peguam selama tiga tahun.
"Ketika berada dalam tempoh pengajian di universiti awam, saya mencari pendapatan dengan menjadi model separuh masa dan ia masih diteruskan hingga ke hari ini," katanya.
Jelasnya, ketika masih bertugas sebagai peguam, dia sangat menjaga penampilan hinggakan ada rakan yang memintanya untuk berkongsi panduan berguna bagi mengubah gaya mereka menjadi lebih baik. Sejak dari itu, Bkay mula menyimpan angan-angan untuk menjadi perunding imej.
Dia mendaftar untuk mengambil sijil dalam bidang imej profesional (CBIP) di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) bagi meraih cita-cita barunya. Pada masa sama, wanita ini turut berjinak-jinak menyertai pertandingan ratu cantik dan pernah mendapat tawaran berlakon. Disebabkan keinginan untuk menjadi perunding imej begitu menebal,
Bkay akhirnya nekad berhenti daripada kerjayanya sebagai pengamal undang-undang. Tanpa jemu menimba ilmu, Bkay mengecap hasil usaha sebagai jurulatih bertauliah dalam Accelerated Learning in Action Programme (ALIA).
"Saya suka bercakap dan berminat untuk melihat perubahan seseorang itu menjadi lebih baik, bukan daripada imej saja, tetapi membabitkan kemahiran berkomunikasi. Bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap pembangunan manusia, saya membabitkan diri secara sepenuh masa mengendalikan latihan kepada syarikat korporat pada 2012.
"Ketika itu, saya juga menjadi pensyarah sambilan di Universiti Nilai untuk meluaskan ilmu, sekali gus meningkatkan kemahiran berkomunikasi," katanya.
Jelasnya, syarikat yang ditubuhkan mempunyai kepakaran dalam bidang perunding imej profesional dan etika perniagaan, terutama jika membabitkan latihan kepada syarikat korporat. Usaha gigih Bkay selama ini akhirnya terbayar lumayan dengan penerimaan anugerah The Golden Phoenix.
Wanita anggun ini dipilih sebagai peniaga wanita berjaya 2017 dalam bidang latihan dan pembangunan. Satu kualiti menarik pada wanita ini yang jarang ditonjolkan kepada umum adalah sikapnya yang dermawan.
Bkay banyak membabitkan diri dalam pelbagai majlis dan program khidmat sosial untuk wanita serta kanak-kanak yang memerlukan menerusi Soroptimist International Ampang dan Hari Hijab Sedunia (World Hijab Day International). "Saya juga banyak membuat seminar kepada orang awam dan bengkel di depan lebih 100 peserta korporat.
"Selain itu, ada juga bengkel cara berjalan di pentas peragaan kepada bakal model dan model sedia ada, selain rundingan secara perseorangan kepada eksekutif, profesional dan sebagainya," katanya.
Namun, bukan mudah untuk dia memastikan semua peserta mampu memberi perhatian sepenuhnya ketika di dalam kelas. Bkay perlu memikirkan kaedah lebih menarik, seiring perubahan semasa. Setiap sesi, Bkay akan berjumpa pelbagai jenis orang dan jantina berlainan.
Oleh itu, dia perlu berfikir secara kreatif dan bermain dengan minda untuk mencari kaedah menarik bagi memastikan peserta dapat memberi perhatian sepanjang sesi pembelajaran. "Saya tidak pernah berasa tertekan sebaliknya begitu seronok kerana perlu berfikir dengan membuat perancangan sebelum memulakan sebarang latihan.
Saya membina jenamanya untuk melatih dan melengkapkan kemahiran perseorangan, hias diri, etika bisnes, penjenamaan peribadi, khidmat pelanggan, komunikasi dan pengucapan awam," ujar anak tunggal ini.
Baginya, sebagai wanita, kita perlu kuat untuk menghadapi persaingan dan sentiasa tampil menyerlah berbanding perunding imej lain. Perjalanan masih jauh dan bukan mudah untuk memiliki kejayaan. "Personaliti dan ilmu haruslah seiring dengan kemahiran komunikasi yang baik bagi mencipta nama, sekali gus mengukir kejayaan manis dalam bidang ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment