My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 20 October 2017

    Praktikal, Jimat Minyak


    Mencari sebuah kereta yang praktikal pada harga berdaya saing pasti menjadi keutamaan ramai. Aspek penyelenggaraan dan penggunaan bahan api rendah menjadi perhatian dalam memilih kereta khususnya bagi mereka yang berkeluarga. 

    Melihat kepada tanda harga semasa, tentu sekali kereta buatan nasional menjadi pilihan dan salah satu ialah Perodua menerusi model Bezza iaitu model sedan pertama keluaran syarikat automotif kedua negara ini. Apa yang menarik mengenai model ini?

    Kesempatan penulis memandu uji model Bezza varian spesifikasi tertinggi 1.3 Advance selama beberapa hari mendapati model ini praktikal bukan saja disebabkan saiznya tetapi ciri teknologi terkini yang dipadankan pada sebuah kereta sedan berharga di bawah RM50,000.

    Bezza dibangunkan menerusi platform Axia, memiliki panjang keseluruhan 4,150mm, ukuran lebar 1,620mm dan ketinggian 1,510mm, manakala ruang but lebih luas berkapasiti 508 liter dan mampu memuatkan tayar simpanan bersaiz penuh.

    Daripada segi pandangan mata kasar, model ini seakan-akan sebuah Myvi sedan yang menerima sentuhan ‘DNA’ Toyota Vios, namun dengan saiz begini ia memberi kelebihan kepada ruang dalaman yang selesa untuk dinaiki sehingga lima penumpang.

    Kelebihan lain tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40 tetapi tidak secara rata sekali gus membolehkan lebih banyak barang besar ‘disumbatkan’ dalam kereta ini. 

    Bagaimanapun, ciri yang mencuri perhatian penulis sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin yang pertama kali ditampilkan bagi model Perodua, selain elemen lain termasuk Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki, yang semuanya adalah untuk varian spesifikasi tertinggi 1.3 Advance.

    Malah ia turut menampilkan unit utama skrin sesentuh double-DIN dengan Mirror Link atau Perodua menggelarnya sebagai ‘Smart Link’. Ia boleh disambungkan terus pada telefon pintar dan aplikasi seperti Waze dan Google Maps yang akan dipaparkan pada skrin.

    Strim muzik menerusi Bluetooth juga ditampilkan termasuk fungsi panggilan telefon dan untuk memudahkan pengecasan gajet, USB port (5V/2A) ditempatkan di bahagian konsol tengah. Menerusi model Bezza dipertingkatkan ini, sedikit perubahan bamper belakangnya telah diperkemaskan dengan bahagian itu dilabuhkan sedikit serta dicat dengan warna yang sama dengan badan.

    Tidak seperti model Bezza yang dilancarkan Julai tahun lalu, bahagian terbabit lebih tirus yang boleh menampakkan bahagian bawah kenderaan berkenaan termasuk sistem gantungan.

    Sentuhan bukan saja bahagian luaran, Perodua turut memberikan sedikit penggayaan berbeza pada kabinnya yang membabitkan varian Premium X dan Advance di mana ia telah ditampilkan dengan kekemasan platinum krom baru (sebelum ini dengan kekemasan perak) terutamanya pada butang kawalan pendingin hawa.

    Bagi varian tertinggi, Advance, satu lagi elemen dipertingkatkan iaitu rekaan tempat duduk kulit baru yang tampil lebih elegan. Maka tidak hairanlah model Bezza ini dinobatkan sebagai ‘Kereta Tahunan Malaysia 2017’ oleh Frost & Sullivan.

    Melihat kepada penggunaan bahan api pula, model sedan automatik empat kelajuan ini mampu mencatatkan 22km/l kerana didatangkan dengan sistem henti melahu (Eco Idle), menjadikan kereta pertama keluaran Malaysia yang menampilkan henti/mula. Biasanya sistem ini dipadankan pada kereta model hibrid keluaran Jepun atau buatan Eropah lain.

    Menerusi sistem Eco Idle ini, apabila kereta dipacu dan dibrek, kuasa tenaga akan digunakan untuk mengecas bateri kereta, bermakna semasa kereta bergerak, bebanan pada alternator dan enjin dapat dikurangkan.

    Perodua juga bekerjasama dengan Bridgestone dan Silverstone dalam membangunkan varian untuk tayar yang digunakan bagi modelnya bertujuan mengurangkan rintangan gulingan dan menerusi model ini, ia menggunakan tayar jenis Bridgestone 175/65 R14 (BS Ecopia), sekali gus menyumbang kepada penjimatan bahan apinya.

    Sebagai sebuah sedan yang mendapat pengiktirafan Kenderaan Jimat Tenaga (EEV), model ini juga tidak berkompromi aspek keselamatan telah menjalani ujian pelanggaran serta menerima penarafan lima bintang daripada ASEAN NCAP bagi 1.3L Advance, di mana VSC adalah standard. Semua varian Bezza turut menerima dua beg udara, ABS dan cagak Isofix.

    Bantuan Mula Mendaki, akan menahan kereta selama dua saat daripada menurun, selepas kaki dilepaskan dari pedal brek, ia boleh didapati pada 1.3 Advance. Bahagian papan pemukanya juga menampilkan butang pembuka/pengunci pada bahagian tengah papan pemuka memudahkan penumpang hadapan menggunakannya tanpa perlu menghulurkan tangan ke pintu bahagian pemandu.
    Seperti model Axia, Bezza juga didatangkan dengan penyangkuk beg tangan, yang begitu digemari pemandu wanita, bersama penyangkut di bahagian tempat duduk belakang. Bagi varian Advance, didatangkan dengan sentuhan lebih menarik iaitu kerusi saduran kulit siap tertera tulisan Bezza selain pelarasan ketinggian tempat pemandu.

    Bagaimanapun, corong pendingin hawanya di tengah-tengah papan pemuka agak kecil dan mungkin boleh diperbaiki pada model keluaran akan datang menerusi saiz yang lebih besar khususnya ketika cuaca panas.

    Suis kawalan jauh Bezza ini juga praktikal kerana pengguna boleh menekan butang membuka but belakang dari jauh, manakala butang siren kecemasan memudahkan kita mencari kenderaan ketika di tempat parkir.

    Bagi varian Advance ini, sistem pengelap cerminnya sensitif kepada kelajuan, manakala pengesan jarak depan dan belakang cukup membantu ketika melalui laluan sempit, selain kamera undur siap dengan paparan garisan jarak dalam meter.

    Harga atas jalan yang ditawarkan (tidak termasuk insurans) ialah RM49,176.89 bagi 1.3L Advance, manakala 1.3L Premium X pula RM43,342.25 (A/T) dan RM41,397.37 (M/T). Bagi varian enjin 1.0L pula, RM37,980.05 untuk A/T dan RM36,035.17 bagi M/T.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Praktikal, Jimat Minyak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top