KEPUTUSAN aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 malam tadi menyaksikan keempat-empat pasukan yang bersaing masih memiliki peluang terbuka luas untuk menempah slot ke final menjelang pertemuan separuh akhir kedua pada 21 Oktober ini.
Pada aksi di Stadium Perak di Ipoh, pasukan Perak mendahului perlawanan dengan gol seawal minit ke-18 selepas kesilapan pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tertolak bola ke gawang sendiri. Skuad The Bos Gaurus mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan bagi menghukum skuad Harimau Selatan di laman sendiri, namun gagal menemui sentuhan penyudah.
Bagaimanapun, skuad kendalian Ulisses Morais tidak mudah melatah apabila menyeimbangkan rentak permainan Perak dan akhirnya membuahkan hasil selepas berjaya menyamakan jaringan menerusi penyerang berbisa, Mohammed Ghaddar pada minit ke-68.
Keputusan seri 1-1 tersebut memberi kelebihan kepada JDT kerana memiliki jaringan di tempat lawan selain beraksi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada aksi separuh akhir kedua nanti.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka menyaksikan skrip yang sama apabila pasukan Kedah berjaya memperoleh kelebihan satu gol di tempat lawan selepas keputusan seri 1-1 dengan Felda United.
Pada perlawanan tersebut, skuad Helang Merah berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh penyerangnya, Sandro Da Silva pada minit ke-60 selepas kapten Felda United, Muhammad Shukor Adan menjatuhkan Mohd. Syazwan Zainon.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad The Fighters enggan menyerah kalah dengan melancarkan serangan bertali arus dan kemasukan pemain gantian, Mohd. Hadin Azman telah menceriakan lebih 7,000 penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87.
Sebelum tamat perlawanan, pemain pertahanan Felda United, Dino Djulbic hampir-hampir memberi kemenangan kepada tuan rumah pada masa kecederaan, namun rembatannya sedikit tersasar dan keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.
0 comments:
Post a Comment