SKUAD hoki lelaki negara terpaksa akur kehebatan pasukan No. 6 dunia, India setelah dimalukan 2-6 pada aksi kedua peringkat Super 4 iaitu separuh akhir Piala Asia 2017 di Stadium Hoki Maulana Bhashani, Dhaka, Bangladesh malam tadi.
Ia sekali gus meleburkan rentak cemerlang Malaysian Tigers yang sebelum ini berjaya mencatatkan empat kemenangan berturut-turut, tiga dalam saingan Kumpulan B dan satu ketika menewaskan Pakistan 3-2 pada aksi pertama Super 4 kelmarin.
Ia juga menamatkan rekod bersih skuad negara ke atas gergasi Asia itu dalam dua pertemuan tahun ini setelah terdahulu menang 1-0 sewaktu Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak (April) dan 3-2 pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.
Kemungkinan besar faktor kepenatan menjejaskan persembahan anak-anak buah Stephen Van Huizen apabila mereka dilihat bergelut untuk melancarkan serangan dan pada masa sama membenarkan pihak lawan memecahbelahkan benteng pertahanan skuad negara.
Hasilnya, India berjaya memperoleh enam gol, masing-masing menerusi Akashdeep Singh (m-14), Harmanpreet Singh (m-19), Uthappa Sannuvanda (m-24), Gurjant Singh (m-33), Sunil Sowmarpet (m-40) dan Sardar Singh pada minit ke-60.
Dua gol skuad negara yang menghuni ranking ke-12 dunia, diperoleh menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim dan jaringan padang Muhamad Ramadan Rosli, masing-masing pada minit ke-50 serta 59.
Biarpun tewas, namun peluang Malaysian Tigers untuk melangkah ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah negara masih terbuka kerana kini menghuni tangga kedua peringkat round robin Super 4 dengan tiga mata.
Slot buat skuad negara beraksi di pentas final pada Ahad ini akan terjamin sekiranya berjaya menewaskan Korea Selatan pada aksi terakhir Super 4 esok.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysian Tigers yang sudah mengesahkan tempat ke pentas Piala Dunia 2018, manakala dalam penyertaan Piala Asia ialah meraih tempat ketiga pada edisi 2007 di Chennai, India.
0 comments:
Post a Comment