My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 12 October 2017

    Debaran Menyusuri Gelongsor Sepanjang 128 Meter


    KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu sebaik tiba di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor. Harith Danish Hairizan sangat teruja apabila melihat gelongsor air gergasi jalanan di dataran tempat letak kereta itu. Bapanya segera memimpin tangan kanak-kanak itu masuk ke karnival tersebut. 

    Dia bertambah seronok apabila melihat terdapat pelbagai permainan lain di situ dan tidak sabar ingin mencubanya. Itu antara momen menarik yang dialami pengunjung di Slide The City, Shah Alam. Seorang pengunjung, Jessica Chua, 27, yang datang bersama rakan-rakannya turut teruja mencuba pelbagai aktiviti di situ.

    “Ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke sini. Pada pendapat saya, karnival ini sangat menarik kerana para pengunjung berpeluang mencuba gelongsor air gergasi jalanan ini sama ada pada waktu siang atau malam. Harga tiket untuk memasuki taman ini juga amat berpatutan berdasarkan kemudahan serta perkhidmatan yang diberikan,” kata wanita yang berasal dari Subang Jaya itu. 

    Tambah Jessica, setiap pengunjung perlu menggunakan pelampung yang diberikan oleh pihak penganjur sebelum menuruni gelongsor air gergasi berkenaan. “Pelampung ini membantu saya meluncur lebih laju dan selamat, malah pihak penganjur mewajibkan kami menggunakan ia bagi menggelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

    “Selain itu, pengunjung juga boleh memilih dan menggunakan mana-mana tiga laluan gelongsor yang disediakan termasuk bebas melakukan pelbagai aksi dengan syarat mesti mempunyai pelampung,” katanya.

    Jelasnya lagi, dia berpuas hati dengan gelongsor air gergasi berkenaan kerana kebanyakan gelongsor berada dalam sesebuah taman tema, jika dibandingkan gelongsor berkenaan ia didirikan di sebelah jalan raya, sekali gus memberikan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.

    “Selain itu, para pengunjung juga dapat merasai suasana yang kondusif sambil bersantai bersama ahli keluarga. Ini kerana kebanyakan kemudahan di sini mesra pengguna seperti kemudahan membeli makanan di trak makanan, tempat penyimpanan barang yang banyak manakala tandas juga bersih. 

    “Saya amat berpuas hati dengan karnival ini. Staf yang bekerja juga sangat mesra dan baik. Malah, mereka turut membantu jika ada para pengunjung yang bertanyakan arah,” tuturnya yang juga merupakan pekerja sebuah syarikat swasta di ibu negara.

    Edisi ketiga 

    Pengunjung beratur menunggu giliran untuk menggelongsor di Slide The City, Shah Alam. Mula dibuka kepada umum pada 30 September lalu, Slide The City yang terletak berdekatan Setia City Mall itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba pelbagai tarikan seperti The Bull Ride, The Resistance Stretch, Gladiator Joust dan Dunk a Friend.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Monkey Theory Sdn. Bhd., Leong Delon, Slide The City tahun ini yang memasuki edisi ketiga dilaksanakan dalam skala lebih besar sejak ia dianjurkan bermula dua tahun lalu.

    “Sebelum ini, acara dilaksanakan secara siri jelajah di beberapa lokasi seluruh negara. Bagaimanapun, format itu menyebabkan tidak ramai berpeluang menyertainya berikutan lokasi yang kerap berubah dan masa terhad.

    “Tahun ini, ia dijalankan selama sebulan di lokasi sama bagi memberi lebih banyak masa kepada pengunjung berseronok,” katanya.

    Fenomena

    Gelagat seorang pengunjung bergambar di pantai buatan. Tambah Delon, gelongsor air gergasi sepanjang 128 meter (m) pada ketinggian 7m itu bakal memberi pengalaman meluncur menyeronokkan dan penuh debaran.

    “Slide The City adalah acara gelongsor air yang menjadi fenomena di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Korea Selatan dan China berikutan kelainan meluncur di atas jalan raya,” ujarnya.

    Jelas Delon lagi, Slide The City dibuka mulai pukul 5 petang hingga 12 tengah malam setiap Jumaat, manakala waktunya lebih panjang pada hujung minggu iaitu 9 pagi hingga 12 malam. “Di negara lain, ia hanya diadakan pada waktu siang tetapi kali ini kita wujudkan kelainan apabila ia dilanjutkan hingga malam.

    “Sebagai tambahan, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti persembahan muzik, gerai-gerai jualan dan trak makanan,” katanya.

    Selain itu, Delon memberitahu, pihaknya meletakkan peraturan larangan memakai pakaian baju renang (berbikini) ketika karnival gelongsor air gergasi yang berlangsung selama sebulan itu. Katanya, ketetapan peraturan ‘tiada bikini’ dicapai memandangkan karnival itu adalah acara rekreasi keluarga termasuk kanak-kanak bukannya melibatkan orang dewasa sahaja.

    “Selain itu, walaupun acara ini dianjurkan bagi merapatkan hubungan kekeluargaan, kami turut memberi perhatian kepada mereka yang memerlukan bantuan. Sebahagian hasil jualan pada hari aktiviti akan disalurkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) sebagai tanda sokongan kepada para pesakit buah pinggang,” katanya.

    Sementara itu, Anif Shah, 28, mengakui, Slide The City mempunyai tarikan yang tersendiri sehingga mendorong dia dan rakan-rakannya untuk berada lebih lama di karnival itu. Katanya, selain aktiviti meluncur air, terdapat banyak lagi aktiviti yang menyeronokkan dan pasti akan memberi pengalaman baru bagi pengunjung.

    “Misalnya, The Bull Ride adalah antara salah satu permainan menarik yang disediakan di sini. Ia adalah permainan ketangkasan menunggang lembu dan cabarannya adalah untuk bertahan selama yang mampu tanpa jatuh serta pemenang akan dikira berdasarkan masa yang ditentukan.

    “Selain itu, terdapat juga tarikan sebuah pantai buatan manusia oleh Pico Design yang membuatkan pengunjung seolah-olah berada di tepi pantai dan berjemur di bawah sinaran matahari,” ujarnya yang berasal dari Kuching, Sarawak.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Debaran Menyusuri Gelongsor Sepanjang 128 Meter Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top