Malayan Banking Berhad (Maybank) berhasrat mengeluarkan 15,000 kad kredit dan 200,000 kad debit jenama bersama Maybank FC Barcelona dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Ketua Kad, Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank B Ravintharan berkata, Maybank adalah pengeluar kad jenama bersama FC Barcelona pertama di Malaysia yang disasarkan kepada segmen pelanggan mewah baru.
“Kami harap kad jenama bersama ini dapat diperluaskan kepada pasaran serantau Maybank dengan Singapura akan menjadi pasaran luar negara pertama bagi kad ini menjelang Januari depan,” katanya pada majlis pelancaran kad kredit Maybank FC Barcelona Visa Signature dan kad debit Visa Debit Platinum, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Komersial FC Barcelona Xavier Asensi dan pemain bola sepak FC Barcelona Gaizka Mendieta Zabala. Kad Maybank FC Barcelona menawarkan ganjaran gaya hidup kepada pemegang kad seperti yuran tahunan hayat percuma, dua peratus pulangan tunai untuk perbelanjaan runcit sepanjang tahun bagi 10 bulan dengan had RM50 sebulan.
Ia juga menawarkan 10 peratus pulangan tunai bagi perbelanjaan runcit bagi Mei dan Jun dengan had RM100 sebulan serta tambahan kadar faedah 0.10 peratus untuk akaun simpanan bagi pemegang kad yang mendaftar secara dalam talian dengan Akaun Premier Maybank2U.
“Kad ini menawarkan pelbagai ganjaran menarik termasuk trip ke Stadium Nou Camp untuk menyaksikan perlawanan kelab bolasepak ini dan menikmati diskaun menarik bagi tiket perlawanan dan cenderamata FC Barcelona,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dengan FC Barcelona adalah satu langkah dalam strategi perbankan pengguna Maybank bagi memastikan pembinaan jenama francais yang kukuh di rantau ASEAN melalui tawaran unik bagi segmen pasaran berbeza. Sempena pelancaran kad itu,
Maybank menganjurkan peraduan istimewa di mana pelanggan perlu mendaftar sebagai pemegang kad Maybank FC Barcelona dan berbelanja minimum RM1,000 dalam tempoh empat bulan untuk berpeluang memenangi trip enam hari empat malam ke Barcelona dan dua tiket VIP ke Nou Camp bagi menyaksikan perlawanan FC Barcelona dengan tarikh peraduan dibuka mulai hari ini hingga 10 Februari 2018.
0 comments:
Post a Comment