Tidak dinafikan bahawa, AirAsia merupakan salah sebuah syarikat tambang murah terkemuka di Asia mahupun di persada antarabangsa. Syarikat penerbangan ini adalah antara syarikat perintis kepada sistem penerbangan tambang murah yang begitu sesuai dengan taglinenya, "Semua orang boleh terbang".
Namun begitu, walaupun syarikat ini berlandaskan pada tambang murah, kadangkala, harga tiket yang ditawarkan ke sesuatu destinasi terutamanya domestik (dalam negara) jauh lebih mahal dariharga tiket penerbangan antarabangsa. Sudah tentu, jawapan yang akan diberi adalah, sila beli tiket anda lebih awal.
Apa yang pasti, bukan semua rancangan perjalanan kita dapat dirancang dari awal. Seperti sedia maklum, sesuai dengan taglinenya iaitu semua orang boleh terbang, sudah semestinya, golongan pelajar IPTA mahupun IPTS akan memilih syarikat penerbangan ini sebagai pilihan mereka. Namun, kadangkala, harga tiket yang melambung naik akan memberi masalah kepada mereka.
Baru-baru ini, seorang pelajar yang hanya dikenali sebagai Izzah Mardhiya Mohd Isa ada menulis surat terbuka kepada pemilik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bagi menyuarakan apa yang telah terbuku dihatinya.Berikut merupakan salinan asal surat berkenaan yang telah menjadi tular di laman sosial Facebook, baru-baru ini.
"KEHADAPAN Tan Sri Tony Fernandes, founder penerbangan Air Asia.
Harga tiket penerbangan Air Asia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah, Malaysia pada 14 Jun 2018 ialah RM1,097. Penerbangan Kuala Lumpur ke Brunei pula RM182- RM250+. Malah, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne, Australia lebih murah berbandingan penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau yang harganya lebih mahal mencecah ribuan ringgit berbanding yang lain.
Sedangkan penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau hanyalah penerbangan domestik, bukannya penerbangan antarabangsa.
Kami adalah pelajar, kami tidak mampu membeli tiket penerbangan dengan harga yang agak luar biasa. Serius, sebahagian daripada kami hanyalah pemegang PTPTN, berlatarbelakangkan keluarga yang susah, tinggal di luar bandar dan pedalaman.
Jika ada biasiswa pun, ia digunakan sepenuhnya untuk menampung kos sara hidup belajar di perantauan. Kenapa tidak beli tiket awal? Sebab sedang menunggu draf jadual peperiksaan untuk memastikan tarikh yang tepat untuk balik.
Tambahan, sebagai pelajar saya berharap pihak Air Asia dapat meminimumkan harga tiket penerbangan kerana Air Asia adalah syarikat penerbangan tambang murah yang terbaik di dunia.
Kami adalah pelanggan tetap Air Asia, namun melihat harga tiket RM1,097 untuk penerbangan sehala membuatkan kami berasa sedih. Beraya di perantauan tanpa keluarga hanya kerana tiket penerbangan yang mahal juga menyakiti kami dan keluarga juga.
Terima kasih dan ikhlas,
Pelanggan tetap Air Asia hampir 6 tahun.
Melihat kepada rayuan seperti ini, rasanya tidak salah buat AirAsia menyediakan satu ruang khas untuk golongan pelajar bagi membeli tiket penerbangan mereka untuk pulang ke kampung halaman. Rasanya tidak salah sekiranya wujud koata untuk pelajar kerana mereka bukanlah kelompok yang mempunyai pendapatan yang tetap.
Walau apa pun, terpulang kepada AirAsia sendiri untuk memutuskan apa yang terbaik untuk syarikat ini. Rasanya, surat berkenaan lebih kepada teguran dan pengharapan dari pelanggan setia mereka. Tidak salah sekiranya harapan ini diambil perhatian dan dikaji dengan mendalam kebekesanannya.
0 comments:
Post a Comment