PASUKAN China kembali menguasai gelanggang Piala Thomas apabila merangkul gelaran juara buat kali ke-10 dengan menewaskan barisan pemain Jepun menerusi kemenangan 3-1 pada aksi final di Arena Impact di Bangkok, Thailand malam tadi.
Kemenangan China yang gagal pada dua edisi lalu itu secara tidak langsung menyekat hajat skuad Pedang Samurai untuk membolot dua piala setelah pasukan wanita Jepun bergelar juara Piala Uber kelmarin.
Permulaan final menyaksikan Chen Long beraksi hambar dan tidak berjaya menewaskan wakil Jepun, Kento Mamota 9-21, 18-21, sekali gus mendermakan satu mata kepada skuad Pedang Samurai.
Bagaimanapun, gandingan beregu, Liu Cheng-Zhang Nan enggan membiarkan penguasaan Jepun berterusan apabila segera menyamakan kedudukan 1-1 dengan menewaskan gandingan Takuto Inoue-Yuki Kaneko 21-10, 21-18.
Pemain perseorangan kedua, Shi Yuqi meneruskan kemaraan China apabila meraih kelebihan satu mata berbanding Jepun setelah mengetepikan Kenta Nishimoto secara straight-set 21-12, 21-17.
Enggan memanjangkan ‘drama’ dua negara tersebut, pasangan beregu China, Li Jun Hui-Liu Yuchen rela bermandi peluh demi mematikan langkah Keigo Sonoda-Yuta Watanabe dengan keputusan 17-21, 21-19, 22-20.
Justeru, China dinobatkan sebagai pemenang selepas memperoleh tiga mata berbanding Jepun yang hanya meraih satu mata, sekali gus menyebabkan para peminat kempunan untuk menyaksikan pertarungan Lin Dan dengan Kanta Tsuneyama.
Pemain beregu China, Liu Cheng mengakui mereka segera menukar strategi dan mengkaji rentak permainan lawan setelah senarai nama pemain dikeluarkan dua jam sebelum perlawanan. “Kami sentiasa bersedia sekiranya Jepun menurunkan pasangan beregu utama mereka dan ternyata sangkaan tersebut benar setelah kami memeriksa senarai pemain pagi tadi.
“Susulan itu, kami segera menonton semua perlawanan mereka untuk membuat perancangan dan strategi sebagai persediaan akhir kami,” jelasnya.
Sebagai rekod, skuad wanita Jepun berjaya menamatkan kemarau selama 37 tahun setelah menghancurkan hasrat tuan rumah untuk mencipta sejarah merangkul gelaran juara Piala Uber buat kali pertama kali kelmarin.
0 comments:
Post a Comment