Chelsea berjaya menamatkan saingan musim ini dengan satu trofi apabila menjuarai saingan Piala FA selepas menewaskan Manchester United 1-0 pada aksi final di Stadium Wembley awal pagi semalam. Jaringan tunggal pemain sayap, Eden Hazard yang menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama berjaya mengurangkan tekanan dihadapi pengurus, Antonio Conte.
Kapten Chelsea, Gary Cahill mengakui kemenangan itu juga sedikit sebanyak mengubat duka skuad The Blues yang gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan Liga Perdana England di tempat kelima.
“Anda semua boleh lihat betapa pentingnya kejuaraan ini buat kami, penyokong serta seluruh staf. Trofi Piala FA boleh dianggap sebagai penyelamat kami pada saingan musim ini dan saya gembira untuk memenanginya.
“Kami bukannya angkuh tetapi terasa janggal apabila kami tidak memenangi sesuatu musim ini. Kemenangan ini sedikit sebanyak mengubat duka selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England,” kata Cahill.
Pemain antarabangsa England itu juga enggan mengulas mengenai masa depan Conte bersama The Blues kerana menganggap sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan adalah terbaik demi pasukan.
“Kemenangan ini adalah untuk semua orang, tidak kira apa yang berlaku pada masa depan. Sebagai pemain, kami tidak ada kuasa terhadap perkara itu (masa depan Conte) tetapi saya yakin kelab akan buat keputusan terbaik,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment