My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 25 May 2018

    Berhenti Budaya Tunding Menunding



    Sudah 15 hari berlalu sejak kekalahan Barisan Nasional di tangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu. Sepanjang 15 hari ini, tidak nampak dengan ketara, apa usaha Barisan Nasional untuk bangkit semula walaupun kerajaan Pakatan Harapan hari ini dilihat serba serbi pincang. Nampaknya, terlalu ramai yang masih kekal berkabung setelah tewas teruk.

    Disebalik upacara perkabungan yang tidak pernah berhenti ini, wujud satu budaya baru di dalam UMNO mahupun Barisan Nasional. Budaya ini dikenali sebagai budaya tunding menunding antara satu sama lain. Budaya ini sebenarnya adalah budaya mencari salah orang lain dan menyembunyikan salah sendiri bagi mengelakkan ahli mahupun penyokong menyalahkan diri mereka sendiri.

    Baiklah, mari kita lihat beberapa situasi bagaimana seseorang atau parti itu mahu menjaga ego sendiri dan menyalahkan orang lain atas tertewasnya BN pada PRUke 14 yang lalu. Tidak sampai 24 jam setelah UMNO tewas, ada beberapa orang pemimpin UMNO sendiri begitu pantas mengangkat jari telunjuk menyalahkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

    Malah, ada diantaranya seolah-olah seperti hilang hormat kepada bekas ketua mereka, pantas meminta Datuk Seri Mohd Najib meletakkan jawatan. Tidak kurang juga, ada seorang pemimpin muda UMNO begitu pantas mengambil kesempatan apabila mendakwa, menyesal menyimpan rahsia Datuk Seri Mohd Najib tentang banyak perkara.

    Persoalannya, andai benar memang terdapat masalah, kenapa dia sendiri tidak tampil memberitahu ketuanya? Kenapa baru kini berani bersuara setelah parti yang memayunginya sejak sekian lama, rebah? Kenapa dia tidak memikirkan langsung jalan untuk membangunkan partinya sendiri dari sibuk menunding jari kepada orang lain?

    Benar, Datuk Seri Mohd Najib telahpun meletakkan kesemua jawatannya serta merta. Namun, masih ada lagi beberapa pihak yang masih suka menunding jari kepada Datuk Seri Mohd Najib sedangkan partinya sendiri hanya memenangi 2 buah kerusi Parlimen daripada 5 hingga 7 yang parti berkenaan janjikan.

    Memang cukup menghairankan, bagaimana mereka masih mahu menebalkan muka menyalahkan orang lain sedangkan dalam kebanyakan kajian menunjukkan, Presiden mahupun ketua ini yang gagal sepenuhnya dalam memaksimakan kekuatan parti? Mereka sendiri yang jelas sekali gagal membawa kemenangan BN, kenapa perlu menyalahkan orang lain?

    Bagi seorang pejuang sejati, memperakui kesilapan sendiri jauh lebih mulia dan bermaruah dari menyalahkan orang lain. Bak kata pepatah, satu jari tunding kepada orang lain, empat jari lagi menunding kearah kita. Inilah yang berlaku di dalam UMNO dan beberapa parti komponen BN yang lain.

    Setidak-tidaknya, tindakan MyPPP yang bertindak keluar dari BN tanpa menyalahkan sesiapa dan hanya memberikan sebab tersendiri, jauh lebih bermaruah dari beberapa parti komponen, Presiden mahupun ketua sayap parti itu sendiri. Setidak-tidaknya, mereka memilih keluar terus tanpa menyalahkan sesiapa walhal pada masa yang sama, mereka kononnya menjerit akan membangunkan semula BN hanya tahu menyalahkan orang lain.

    Sepatutnya, andai benar-benar rasa bertanggungjawab kepada BN, berhenti menyalahkan orang lain. Ini adalah masa untuk semua pihak merenung diri sendiri terlebih dahulu dan bertanya, apa sumbangan aku kepada BN. Bukannya meletakkan segala beban di bahu Datuk Seri Mohd najib sedangkan mereka masih menikmati status Presiden dan Ketua sayap parti. Ini satu tindakan menjengkelkan dan amat tidak bermaruah.

    Fikirkan punca kita tewas pada PRU 14 dan fikirkan juga jalan terbaik untuk membangunkan semula BN. Menyalahkan antara satu sama lain langsung tidak membantu menyatukan semula BN. Hanya tindakan mereka yang matang dan cukup akal sahaja mampu membentuk semula kekuatan BN di saat ramai yang mula mempersoalkan, mampukah BN kembali pada PRU ke 15 yang akan datang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Berhenti Budaya Tunding Menunding Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top