My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 22 May 2018

    Nasihat Yang Arif



    Seorang remaja lelaki dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pelbagai pertuduhan membabitkan perbuatan pengganas Daish berkaitan rancangan menyerang The Better Festival Beer 2017 di ibu negara, Oktober tahun lalu. 

    Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 20, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya. 

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Sofian menasihati tertuduh supaya belajar bersungguh-sungguh dan mencipta sesuatu yang membanggakan negara memandangkan usianya masih muda. 

    “Kamu ada idea bernas tapi boleh datangkan kemudaratan kepada masyarakat. Sekiranya kamu tidak ditangkap, kemungkinan kamu akan menggunakan bahan ini di tempat awam,” katanya yang turut mengambil kira laporan sosial tertuduh yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

    Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Hafizi didakwa memberikan latihan melalui kumpulan perbuatan WhatsApp The Rise of Jundullah dalam membuat bahan letupan kepada orang yang bersedia membabitkan diri dalam perbuatan pengganas di Kota Bharu, Kelantan, antara jam 9.07 malam dan 10.28 malam pada 23 September 2017.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut subseksyen 130F(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

    Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa hadir ke tempat latihan di sebuah kawasan tanah lapang berhampiran bangunan tapak semaian benih padi, Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan sebagai persediaan perbuatan pengganas antara jam 3.30 petang dan 4 petang, 10 Oktober 2017 dan didakwa mengikut perenggan 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda.

    Mengikut pertuduhan ketiga, anak bongsu daripada sembilan beradik itu didakwa memiliki 57 item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daish dan dua item berkaitan kumpulan pengganas Al-Qaeda di dalam sebuah telefon bimbit.

    Kesalahan itu dilakukan di Restoran K&K, Lot 2689, Jalan Tok Janggut, Kampung Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan pada jam 4.30 petang, 10 Oktober 2017 dan didakwa mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item itu.

    Sementara itu bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memaparkan 13 video dan lima gambar berkaitan kumpulan pengganas Daish, Al-Qaeda dan Jemaah Ansharut Tauhid di dalam akaun Instagram miliknya atas nama al_akh_fillah di dalam sebuah telefon bimbit.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di restoran yang sama pada masa dan tarikh sama dan didakwa mengikut perenggan 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item itu.

    Mahkamah memerintahkan Muhamad Hafizi dihukum penjara sembilan tahun bagi pertuduhan pertama, lima tahun bagi pertuduhan kedua dan masing-masing tiga tahun bagi pertuduhan ketiga dan keempat. Bagaimanapun kesemua hukuman itu diarah berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 10 Oktober 2017.

    Terdahulu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya dengan mengambil kira usia tertuduh yang masih muda dan mempunyai latar belakang yang baik serta masa depan cerah jika diberikan peluang.

    “Tertuduh juga tidak pernah mengabaikan pelajaran berikutan dia mengambil peperiksaan STPM di dalam Penjara Pengkalan Chepa ketika dia ditahan reman. Selain itu, tertuduh juga bukanlah seorang esktremis dan berbahaya tapi hanyalah seorang anak muda yang bersemangat untuk membabitkan diri dengan jihad menegakkan agama,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan tindakan tertuduh yang telah membuat perancangan teliti dan rapi untuk melakukan suatu perbuatan pengganas.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Nasihat Yang Arif Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top