PEMINAT jenama francis filem terkenal dari Barat, Star Wars pasti cukup mengenali watak ikonik, Han Solo yang dimainkan oleh pelakon popular Harrison Ford sejak edisi pertamanya ditayangkan pada tahun 1977.
Meskipun wataknya telah dimatikan dalam filem The Force Awakens (2015), namun itu tidak menghalang untuk ia kembali dihidupkan menerusi francais prekuel berjudul Solo: A Star Wars Story. Mula ditayangkan sejak 24 Mei lalu di pawagam tempatan, filem arahan Ron Howard tersebut bagaimanapun tidak dibintangi Ford, sebaliknya diisi oleh pesona muda bernama Alden Ehrenreich.
Filem yang memulakan penggambaran pada 2016 tersebut mengisahkan perjalanan hidup Han ketika muda dan pertemuan pertamanya dengan Chewbacca. Dari situ, Han turut meneroka galaksi dan memburu impian bergelar juruterbang pesawat angkasa lepas.
“Penulis skrip, Larence Kasdan pernah memberitahu saya bahawa filem ini adalah tentang kisah cinta. Namun sebenarnya ia bukan seperti yang anda sangka.
“Bagi saya, ini adalah kisah kasih sayang antara Han dan Chewie. Hubungan mereka sangat baik dan apabila hanya Han yang memahami apa yang Chewie cakap, ia sebenarnya sangat lucu dan sesuai untuk naskhah komedi,” seloroh Ehrenreich tentang pandangannya tentang filem yang menelan belanja lebih AS$200 juta (RM800 juta) tersebut.
Menerusi satu temu bual, Ehrenreich yang popular menerusi filem komedi Hail, Caesar! (2016) teruja berbicara mengenai watak dan peranannya sebagai Han Solo dalam francais tersebut. Masakan tidak, jenama Star Wars begitu dekat dengan dirinya sejak kecil dan akuinya, dia banyak menyimpan koleksi semua karakter francais popular tersebut.
“Saya rasa perkara utama yang membezakan adalah Han yang dilihat dalam filem merupakan seorang yang lebih idealis. Dia mempunyai impian yang tetap dan kita dapat melihat bagaimana dia menjadikan setiap impian itu sebagai realiti walaupun ia sukar dan lebih mencabar daripada apa yang disangkakan,” katanya dalam satu temu bual bersama CheatSheet.
Sebelum berjaya menggalas watak tersebut, Ehrenreich bagaimanapun terpaksa bersaing dengan sejumlah besar calon lain iaitu seramai 3,000 individu yang turut tersenarai dalam sesi uji bakat. Ia termasuklah beberapa nama besar seperti pelakon Miles Teller, Ansel Elgort, Dave Franco, Jack Reynor, Scott Eastwood, Logan Lerman, Emory Cohen dan Blake Jenner.
“Hidup ini sangat menakjubkan. Naskhah ini mempunyai makna yang sangat dekat dengan saya sejak kecil. Jadi, apabila berjaya masuk ke dalam produksi ini sebagai salah seorang pelakon, ia sangat mengagumkan dan sukar untuk dipercayai.
“Saya masih ingat perasaan menonton filem Star Wars ketika kecil dan pedang cahaya atau lightsaber masih dalam simpanan saya. Ia umpama mimpi apabila sekarang saya benar-benar berada dalam dunia ini,” ujarnya yang mengakui Han dan Luke adalah watak kegemarannya.
Bagaimanapun, pengarah asal filem tersebut, Christopher Miller dan Phil Lord mempunyai pandangan tersendiri mengapa Ehrenreich menjadi pilihan pertama dalam senarai untuk membintangi watak utama itu.
Hal ini kerana, mereka melihat Ehrenreich mampu menjiwai karakter tersebut dengan cara tersendiri dan tidak dibayangi oleh pembawaan Ford dalam kesemua francais terdahulu. Pendek kata, jejaka yang lahir pada tanggal 22 November 1989 itu menonjol dengan kebolehan tersendiri.
“Sebagaimana kami melihat Chris Pine membawa watak James T. Kirk dengan jayanya, perasaan itu turut timbul apabila melihat Han Solo dalam diri Ehrenreich. Kami yakin dialah orang yang tepat,” kata Miller.
Di sebalik keterujaannya terlibat dalam produksi perdana sebegitu, ada perkara lain yang sebenarnya memberi cabaran kepada pemilik nama lengkap Alden Caleb Ehrenreich itu.
Kritikan
Katanya, ini merupakan kali pertama dia terpaksa menyembunyikan segala informasi tentang projek filemnya kerana terikat dengan syarat dan perjanjian yang telah dipersetujui bersama syarikat produksi.
“Perkara paling sukar untuk filem ini bukannya tentang penggambaran kerana saya seronok dan teruja sekali melakukannya. Ironi, kami barisan pelakon perlu menanti lama untuk menunggu ia masuk ke pawagam iaitu dua tahun sejak diumumkan pada 2016.
“Ia sangat mencabar untuk menyimpan segala rahsia ini termasuk kepada orang terdekat. Sekarang saya berasa sangat lega kerana akhirnya naskhah hebat ini keluar di pawagam,” katanya yang terpaksa menjalani enam ujian saringan awal sebelum benar-benar layak menggalas watak Han Solo.
Biarpun begitu, Ehrenreich tetap tidak dapat lari daripada kritikan negatif apabila timbul cakap-cakap yang mendakwa dirinya tidaklah begitu bagus dalam menterjemahkan Han Solo sama seperti yang dilakukan Ford selama berpuluh-puluh tahun.
Perkara berkenaan turut dipengaruhi dengan kepincangan yang berlaku dalam produksi apabila pengarah asalnya Miller dan Lord dipecat dan digantikan dengan Howard. “Cuba menjadi Harrison Ford adalah perkara sangat sukar untuk dilakukan. Ehrenreich tidaklah teruk tetapi cuma dia belum cukup bagus,” kata seorang sumber seperti dipetik portal Express.
Meskipun tidak dapat lari daripada kritikan negatif, kemunculan pertama Ehrenreich sebagai bayang-bayang Ford tetap mendapat pujian dan disifatkan telah mencuri hati peminat kerana berjaya membawa karakter tersebut dengan cara tersendiri.
Mesej
Filem Solo: A Star Wars Story bukanlah debut untuk Ehrenreich. Sebelum ini, selain Hail, Caesar! dia telah banyak membintangi naskhah lain seperti Greased, Ten Fingers, Stoker, Teenage, Blue Jasmine dan Running Wild.
Namun kemunculannya sebagai Han Solo bawah jenama besar Star Wars telah memperkenalkannya terhadap terma populariti luar jangkauan. Mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan sejak berusia 14 tahun, kali pertama dia muncul dengan naskhah layar lebar adalah menerusi filem Tetro pada tahun 2009 dengan memegang watak Bennie Tetrocini.
“Naluri dan minat saya ke arah dunia lakonan memang ada sejak kecil dan banyak terdorong terhadap genre filem klasik kerana ibu bapa kerap menayangkan filem lama ketika saya masih kecil,” ujarnya yang pernah muncul dalam siri televisyen CSI dan Supernatural.
Hakikatnya, perjalanan Ehrenreich dalam industri terbuka luas selepas bakatnya dihidu oleh pengarah terkemuka Steven Spielberg ketika berusia 14 tahun yang kemudian melamarnya menjadi pelakon bawah naungan syarikat Dreamworks.
Menjadi antara wajah harapan dalam industri perfileman Hollywood, jejaka kelahiran Los Angeles, California, Amerika Syarikat itu sentiasa berpegang prinsip, jangan pernah lelah untuk tetap belajar terutama daripada orang yang lebih berpengalaman.
“Dahulu saya pernah berkata, saya mahu setiap filem lakonan akan memberi kesan kepada masyarakat dunia. Tetapi sekarang, pandangan saya semakin meluas tentang dunia lakonan.
“Sekarang saya mahu setiap naskhah memberi nilai kepada manusia dalam kehidupan sebenar mereka. Pendek kata, saya mahu semua naskhah berjaya menyentuh hati setiap penonton dengan jayanya, bukan sekadar tentang jalan cerita,” katanya yang gemar meminta nasihat dan kata-kata daripada mana-mana pengarah ketika terlibat dalam sebarang projek.
0 comments:
Post a Comment