Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal yang dibonceng bersama rakan lelakinya terbabas sebelum dia digilis sebuah kereta di Kilometer 18, Jalan Kota Samarahan-Asajaya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, mangsa, Fitratul Izzah Hamdan, 17, dari Kampung Sebandi Ulu, Asajaya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, rakan mangsa, Azrin Syah Iskandar Mohamad, 17, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 pula cedera parah dan kini sedang menerima rawatan di Klinik Asajaya.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya dikatakan dalam perjalanan dari arah Asajaya menuju ke Kota Samarahan. Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang Azrin tiba-tiba hilang kawalan sebelum mangsa tercampak di laluan bertentangan lalu digilis oleh sebuah kereta jenis Proton Saga.
"Pemandu kereta yang berusia 32 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat. "Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment