SKUAD badminton lelaki negara menepis pandangan sebelah mata yang dilabel kepada mereka apabila mematahkan langkah kesemua pemain Rusia untuk menang 5-0 pada aksi pertama Kumpulan D Piala Thomas di Arena Impact, Bangkok, Thailand semalam.
Langkah kanan dimulakan oleh kapten pasukan, Datuk Lee Chong Wei yang mengutip mata pertama setelah merealisasikan mimpi ngeri yang diramalkan oleh Vladimir Malkov dengan kemenangan 21-9, 21-6.
Mata kedua dikutip gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang terpaksa berhempas pulas sebelum menundukkan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov 21-18, 21-19. Rentak cemerlang diteruskan pemain perseorangan kedua, Lee Zhi Jia apabila tanpa belas kasihan menghancurkan harapan Rusia untuk bangkit dengan mengalahkan Sergey Sirant 21-13, 21-16.
Kedudukan selamat tersebut bagaimanapun tidak membuatkan Malaysia ingin beri muka kepada Rusia apabila terus menambah mata menerusi beregu, Aaron Chia-Teo Ee Yi dengan keputusan 21-16, 21-9.
Rusia akhirnya kempunan mata setelah Iskandar Zulkarnain melengkapkan kemenangan bersih buat negara dengan keputusan 21-9, 21-12 ke atas pemain berusia 19 tahun, Rodion Alimov. Berbangga dengan aksi yang dipamerkan barisan negara, Chong Wei berharap ia dapat melonjakkan semangat mereka untuk terus mengutip mata pada perlawanan-perlawanan akan datang.
“Kami turunkan barisan terkuat hari ini (semalam) kerana pemain-pemain Rusia gemar mengasak dan memiliki tenaga yang luar biasa. “Kemenangan ini penting bagi meningkatkan semangat dan moral barisan pemain negara untuk menghadapi lebih banyak cabaran pada perlawanan selepas ini.
“Esok (hari ini), kami akan berjumpa dengan Algeria sebelum membuat perhitungan besar dengan juara bertahan, Denmark. Kami akan bincang bersama rakan sepasukan mengenai strateginya nanti,” katanya.
0 comments:
Post a Comment