Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) yang memiliki 30 peratus kepentingan dalam Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menerusi anak syarikatnya, Viable Chip (M) Sdn Bhd menjangkakan dapat memuktamadkan isu penstrukturan air pada Julai ini.
Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, sebelum ini, isu berkenaan sukar mencapai kata putus memandangkan status kerajaan negeri Selangor sebagai pembangkang di peringkat persekutuan.
Beliau berkata, Selangor kini sudah menjadi sebahagian daripada pakatan pemerintah dan syarikat berharap perkembangan ini akan mendatangkan manfaat kepada negeri itu untuk menyelesaikan isu penstrukturan air dan pelan pengukuhannya.
“Saya percaya jalan penyelesaian harus diputuskan kerana hal ini sudah berlarutan selama bertahun-tahun lamanya. Kami tidak berada dalam kedudukan untuk membuat sebarang permintaan atau mengawal apa yang berlaku.
“Ia urusan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Tarikh akhir bagi perbincangan akan berlangsung pada 4 Julai ini dan tawaran terakhir yang kami terima adalah pada nilai RM250 juta. Kami tidak tahu sama ada kami akan mendapat tawaran lebih tinggi atau kekal dengan tawaran sama,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 KPS di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Eksekutifnya, Ahmad Fariz Hassan. Sementara itu, mengulas mengenai prospek KPS bagi tahun ini, Raja Idris berkata, pihaknya akan terus meninjau peluang pengambilalihan syarikat yang berpotensi.
0 comments:
Post a Comment