PENYANYI, Hazama berjanji akan setia dengan isteri, Genervie Kam meskipun tidak dikurniakan cahaya mata. Hazama atau Hazama Ahmad Azmi, 34, berkata, soal tidak dikurniakan anak bukan alasan untuknya berkahwin lain apatah lagi selepas isterinya membuang sebelah tiub fallopia.
"Diakui, isteri sangat risau kalau saya cari orang lain. Saya bagi jaminan yang mana tetap akan bersamanya. Saya juga tidak pernah terfikir ke arah itu. Layanan isteri kepada saya cukup dan tidak ada sebab untuk cari orang lain.
"Isteri juga memberikan sepenuh kasih sayang dan berjaya ubah saya jadi lebih baik. Dalam masa sama, isteri menjaga saya dengan cukup baik. Apa saya nak dia cuba dapatkan. Pendek kata, dia melengkapi saya. Kalau perempuan lain belum tentu boleh buat.
"Jadi, kalau tidak dikurniakan anak bukan alasan untuk saya cari orang lain. Buat apa saya nak rosakkan hubungan ini. Saya mungkin takkan dapat lagi layanan sama," katanya.
Hazama berkata, isterinya yang juga pemuzik, terlebih dahulu memaklumkan masalah dihadapi sebelum mereka berkahwin lagi. "Saya cakap kahwin bukan sebab nak anak semata-mata, sebaliknya sebab sayang.
Kalau memang tidak ada rezeki anak sampai bila-bila, tidak mengapa. Masih boleh ambil anak angkat. "Macam sekarang, kami boleh menumpang kasih dengan anak saudara. Lagi pula, anak saudara juga boleh dijadikan anak angkat. Tidak berasa ralat sangat kerana darah daging sendiri juga. Mana tahu ada rezeki selepas itu," katanya.
Hazama mengakui dia sentiasa berfikiran positif dalam perkara itu kerana beranggapan ia ketentuan Allah SWT. "Kalau Allah nak bagi, Dia akan bagi. Saya selalu cakap kepada isteri, kita kena percaya kepada rezeki dan ketentuan Allah.
"Isteri juga pernah cakap kalau nak anak, boleh buat rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF). Saya cakap tidak mengapa. Dalam perkara ini saya gunakan pendekatan agama untuk memberi pemahaman kepadanya.
"Mungkin sebab sebelum ini saya belum bersedia nak ada anak dan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa. Jadi, Allah berikan ujian ini. Jadi, saya kena lalui perkara ini dulu. Kalau suatu hari nanti ada anak, saya pasti lebih hargai," katanya. Hazama dan isteri berkahwin pada 15 Januari tahun lalu. Namun, isterinya mengalami keguguran pada Mac lalu.
0 comments:
Post a Comment