Ketiadaan Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen di Sabah dan Sarawak dilihat sebagai pendekatan selamat bagi meredakan ‘sentimen kekecewaan’ rakyat di kedua-dua negeri berkenaan terhadap beliau selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Ia berikutan kegagalan beliau membawa limpahan pembangunan dan sosio ekonomi ke Sabah dan Sarawak sepanjang mengetuai kepemimpinan negara, selain ‘menafikan’ hak keistimewaan kedua-dua negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, pada hakikatnya pemimpin veteran itu sedar segala dasar diperkenalkan beliau ketika mengetuai Kerajaan Pusat membawa banyak kerugian kepada Sabah dan Sarawak, begitu juga rakyatnya.
“Cukup saya sangsi dengan alasan mengatakan beliau lebih diperlukan untuk berkempen di Semenanjung. Sebenarnya, kesilapan dilakukannya ke atas Sabah dan Sarawak ketika dirinya berkuasa dulu.
“Beliau sebenarnya tidak berani datang ke Sabah dan Sarawak, bersemuka dengan kita kerana menyedari wujud sentimen ‘Anti-Mahathir’ yang kuat dalam kalangan rakyat di kedua-dua negeri ini,” katanya.
Katanya, ‘Anak Sarawak’ sendiri tidak mudah lupa apa dilakukan Dr Mahathir, termasuk baru-baru ini apabila beliau memberikan satu ‘label penghinaan’ terhadap rakyat negeri ini. “Bagaimana mungkin Dr Mahathir tidak turun berkempen di dua negeri ini sedangkan Sabah dan Sarawak mempunyai komposisi kerusi Parlimen agak besar,” katanya.
Jeniri berkata, Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri tidak teragak-agak mengenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika ada pihak menyuarakan secara terbuka pengembalian hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam MA63.
“Tidak seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) memansuhkan ISA dan beliau memberi ruang sepenuhnya kepada rakyat Sabah dan Sarawak membangkitkan isu MA63 secara terbuka,” katanya.
Katanya, ‘Projek IC’ juga menjadi antara faktor Dr Mahathir tidak ke Sabah kerana bimbang sentimen muak rakyat Sabah yang menjadikan negeri itu tidak stabil dari sudut sosial dan ekonomi.
“Begitu banyak individu bukan warga Sabah diberikan kad pengenalan dan ini menimbulkan kemarahan warga Sabah sebenar,” katanya.
Bagi penganalisis politik berpengalaman, Datuk Peter Minos, pakatan pembangkang tidak mampu menembusi ‘bilik kebal’ BN Sarawak di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, menjelang hari pengundian pada 9 Mei ini.
“Rakyat Sarawak tidak mampu berpecah kerana mereka perlu berada dalam satu suara untuk mendapatkan hak dalam MA63. Dengan itu, mereka melihat BN adalah satu-satunya pilihan paling baik membawa suara rakyat negeri ini untuk berunding bersama Kerajaan Pusat bagi tujuan mengembalikan semula kuasa Sarawak,” katanya.
Katanya, kehadiran parti pembangkang berpangkalan di Semenanjung di negeri itu membawa budaya politik kasar, penghinaan dan fitnah. Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) lalu, BN Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi DUN, manakala menguasai 25 daripada keseluruhan 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
0 comments:
Post a Comment