BAPA kepada lapan anak yang ditahan di kawasan rumah setinggan, Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau, mengaku mengambil dadah untuk mengurangkan tekanan hidup selepas bercerai dengan isterinya, dua tahun lalu.
Suspek berusia 54 tahun itu ditahan sepasukan polis dalam serbuan sempena Operasi Cegah Jenayah Ramadan yang bermula 11 malam hingga 5 pagi tadi. Ketika ditemui media yang menyertai operasi itu, suspek pada awalnya mengaku sudah lama meninggalkan aktiviti menghisap dadah namun mengambilnya semula dua hari lalu dan mendakwa mendapat bekalan hasil pemberian rakannya.
“Saya mana ada duit, mana ada kerja. Ini semua saya dapat dari kawan. Ini pun baru kali ini saya ambil sebab terlalu tertekan selepas berpisah bekas isteri saya” kata lelaki itu.
Dalam operasi membabitkan 19 pegawai dan 126 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu, seramai 20 individu termasuk dua wanita ditahan atas pelbagai kesalahan. Sementara itu, dalam serbuan berasingan, seorang suspek berusia 25 tahun mengaku mengambil dadah dua kali sehari walaupun pada bulan Ramadan bagi melepaskan gian.
Suspek turut mengaku mengambil dadah sejak empat tahun lalu dan ibu bapanya tidak tahu mengenai ketagihannya kerana sering melepaskan gian di rumah rakannya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam serbuan itu empat lagi lelaki berusia 17 hingga 50 tahun ditahan kerana didapati positif dadah jenis methampethamine dan mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam serbuan itu juga, enam individu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
0 comments:
Post a Comment