My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 30 May 2018

    Adakah Ini Yang Dikatakan Sebagai Malaysia Baru?



    Tidak dinafikan, ramai dikalangan para penyokong Pakatan Harapan yang memberi undi kepada pakatan ini begitu mengharapkan akan munculnya era Malaysia Baru yang kerap kali mereka laungkan sejak 4 tahun yang lalu. Pastinya, harapan sebergini bukan satu harapan yang boleh dipermainkan begitu sahaja.

    Antara janji yang termetrai dalam istilah Malaysia Baru ini adalah,penghapusan sepenuhnya GST, memansuhkan hutang warga Felda, pemansuhan bayaran balik PTPTN, penurunan harga runcit petrol dan diesel, bayaran KWSP kepada suri rumah dan paling utama adalah menjaga kebajikan dan hak-hak Melayu dan Bumiputera yang selama ini kekal terpeliharan di bawah kerajaan BN.

    Memasuki hari yang ke 20 sejak mereka berjaya membentuk kerajaan setelah memenangi PRU 14 yang lalu, boleh dikatakan, tidak ada apa yang mereka lakukan sepanjang tempoh berkenaan. Jika ada sekalipun hanyalah "tembakan" rambang terhadap isu 1MDB, derma RM 2.6 bilion dan deretan sidang media yang diadakan oleh kerajaan hari ini.

    Isu membabitkan hak-hak Melayu dan Bumiputera, walaupun secara dasarnya, tidak ada yang berubah namun disebalik ketenangan berkenaan, agensi seperti JAKIM, UiTM, Felda dan beberapa entiti yang selama hari ini adalah hak milik Melayu dan Bumiputera sudah mula diancam bahaya.

    Mungkin, atas istilah Malaysia Baru, bagi Pakatan Harapan, kesemuanya mesti baru. Ini termasuklah beberapa permintaan dari individu mahupun persatuan yang turut ingin memecah monopoli yang selama ini menjadi hak milik Melayu dan Bumiputera, turut ingin disertai oleh pihak-pihak yang selama ini mengintai peluang berkenaan sejak sekian lama.

    Siti Kassim sebagai contoh memberi cadangan supaya institusi agama seperti JAKIM di mansuhkan kerana mewujudkan jurang yang ketara antara agama dan kaum. Pendapatnya ini turut di sokong oleh sebahagian besar penyokong Pakatan Harapan dari kaum Cinayang turut bersependapat dengan Siti Kassim.

    Bagi kelompok LGBT pula, selain dari mempunyai pendapat yang sama dengan Siti Kassim, mereka juga menuntut kerajaan mengiktiraf pergerakan mereka tanpa ada sebarang halangan. Sekiranya, kerajaan memberi keizinan dan pengiktirafan berkenaan, bukan satu perkara yang mengejutkan jika kita boleh melihat lelaki sama lelaki dan perempuan sama perempuan berkucupan di khalayak ramai.

    Terbaru, Hindraf dilaporkan oleh kebanyakan media semalam, menuntut Felda dan UiTM dibuka kepada semua kaum terutamanya kaum India. Tidak dapat dipastikan samada Hindraf sengaja menangguk di air yang keruh ataupun sebaliknya, namun adalah amat dipercayai bahawa Hindraf cukup sedar permintaan mereka itu adalah satu permintaan yang cukup sensitif buat kaum Melayu.

    Secara amnya, UiTM ini hanya dibuka kepada kaum Melayu dan Bumiputera bagi melanjutkan pelajaran mereka keperingkat IPTA. Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, tidak ada mana-mana pihak pun berani memberi cadangan sedemikian secara terbuka. Cuma sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan, sudah ada pihak yang sudah naik tocang menuntut hak milik kaum Melayu dan Bumiputera ini.

    Bagi Felda pula, secara amnya, ianya merupakan tanah terokaan penempatan semula penduduk luar bandar yang kesemuanya adalah dari kaum Melayu dan Bumiputera. Ini adalah "anak emas" kerajaan BN yang mana kerajaan terdahulu begitu memberi perhatian terhadap keperluan setiap seorang warganya.

    Malah, sudah terkandung di dalam perjanjian asal, seseorang peneroka itu dilarang sama sekali dari menjual tanah mereka kepada pihak luar. Jika ada peneroka yang mahu membuat pinjaman, tanah mereka menjadi cagaran buat pengurusan Felda untuk memberikan satu-satu pinjaman. Inilah yang banyak menyekat generasi kedua dan ketiga Felda dari menjual tanah mereka kepada pihak luar.

    Namun, menerusi manifesto Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan kesemua hutang warga Felda yang kesemuanya dibuat atas kerelaan sendiri, ianya dilihat seperti satu peluang buat orang luar terutamanya mereka yang bukan Melayu dan Bumiputera untuk merebut tanah-tanah ini yang akan menjadi milik mereka seandainya segala hutang-hutang ini dilunaskan oleh pihak luar.

    Mungkin inilah yang menedorong Hindraf melakukan satu cubaan yang dianggap menimbulkan kemarahan ramai kaum Melayu. Melihat begitu banyak rentetan yang berlaku sepanjang 20 hari ini, timbul persoalan, adakah ini Malaysia Baru yang mereka canangkan sebagai yang terbaik bagi menggantikan BN?

    Jika kita masih mempunyai akal yang waras, mari kita renungkan sejenak satu fakta ini. Seandainya UiTM, Felda, JAKIM dan pelbagai agensi berteraskan Melayu dan Bumiputera ini diambil alih atau setidak-tidaknya dibuka kepada semua kaum, apa lagi yang tinggal buat kaum Melayu dan Bumiputera? Adakah kita sedang membiarkan hak kita diambil sewenang-wenangnya tanpa melawan?

    Itu baru sedikit dan mungkin akan ada perkara yang jauh lebih besar yang akan berlaku sekiranya kita masih terleka dan membiarkan penyatuan kaum Melayu dan Bumiputera ini kekal berpecah. Kini, sudah wujud cadangan untuk membenarkan warga asing menyewa di Rancangan Perumahan Rakyat. Andai ini berlaku, kemana arah kaumMelayu bandar yang kononnya sudah terlalu moden ini?

    Andai inilah yang dinamakan sebagai Malaysia Baru, rasanya lebih ramai yang lebih rela tinggal diera Malaysia lama berbanding istilah baru yang diwar-warkan ini memakan kaum Melayu dan Bumiputera, sedikit demi sedikit.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Adakah Ini Yang Dikatakan Sebagai Malaysia Baru? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top