Malaysia perlu meneliti semula pembatalan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura, dengan terlebih dulu membuat perbandingan kos kelebihan.
Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan projek itu mempunyai ‘pro dan kontra’ dan penelitian perlu dibuat merangkumi pelbagai aspek. “Kelebihan projek itu ialah membuka peluang perniagaan di sekitar stesen HSR dan menaikkan nilai tanah di sekitarnya.
“Kekurangannya ialah negara bakal mengalami brain drain atau kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi apabila Singapura mampu menarik lebih ramai pekerja Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk bekerja di negara itu walaupun mereka tinggal di Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Selain itu, katanya, pembatalan projek yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga berkaitan dengan penelitian semula bagi memastikan kemampuan negara dengan komitmen pembayaran hutang berjumlah RM100 bilion.
“Sememangnya ia perlu dilihat dari aspek keupayaan bayaran hutang berdasarkan jangkaan pendapatan yang boleh diperoleh daripada projek berkenaan.
“Ini penting untuk memastikan jangkaan pendapatan yang dibuat sebelum ini adalah realistik atau tidak. Jika tidak realistik, ada kos tambahan yang bakal ditanggung oleh kerajaan jika tidak mampu membayar komitmen hutang tahunan.
“Semua ini perlu diambil kira termasuk membuat perbincangan semula dengan Kerajaan Singapura. Jika projek ini tidak memberikan keuntungan, malah membuat kerajaan menanggung kos lebih tinggi daripada kos pembatalan, maka ia perlu dibatalkan,” katanya.
Profesor Ekonomi yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali berkata, penilaian semula itu memerlukan masa dan boleh dibandingkan dengan penilaian yang dibuat kerajaan terdahulu bagi menilai kesannya.
Sementara itu, penganalisis politik dan pakar ekonomi Prof Dr Hoo Ke Ping berkata, keputusan Dr Mahathir untuk membatalkan projek HSR dianggap satu keputusan bijak dan mengelak daripada negara menanggung beban hutang yang tinggi.
“Malaysia kini berdepan dengan pinjaman daripada bank dan hutang isi rumah yang tinggi. Berdasarkan prinsip ekonomi, jika hutang tinggi ia akan menyebabkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rendah.
“Jadi, ia memberikan kesan tidak baik terhadap perkembangan ekonomi negara. Justeru, langkah pembatalan HSR oleh kerajaan adalah satu keputusan untuk masa depan negara dan HSR juga tidak sepatutnya dilaksanakan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment